TAWAU, 16 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki berumur 54 tahun hilang,
dipercayai dibaham buaya, ketika sedang menjala undang bersama anak lelakinya di
Sungai Udin, Dumpas, dekat sini, semalam.
Mangsa, Jailani Inderasaya, dari Kampung Jagung, Merotai Besar, dikatakan
keluar menangkap udang bersama anaknya Azwan,16, ketika kejadian berlaku
kira-kira jam 4.30 petang.
Menurut Azwan, ketika ayahnya sedang menjala udang di tepi sungai
berkenaan, tiba-tiba seekor buaya sepanjang kira-kira 15 kaki keluar dari
tebing sungai itu lalu menggigit bahagian bahu ayahnya sebelum menariknya ke
dalam sungai dan tenggelam ke dalam air.
Katanya setelah ayahnya tidak timbul-timbul, dia terus bergegas balik ke
rumah dan memaklumkan keluarga dan rakan-rakan yang kemudian berusaha mencari
mangsa hingga ke malam namun gagal menemuinya.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin ketika mengesahkan kejadian
berkata sehingga jam 4.30 petang tadi, mangsa masih belum ditemui pasukan
mencari dan menyelamat.
Ibrahim juga meminta Jabatan Perhilitan supaya melakukan sesuatu bagi
mengatasi ancaman buaya bukan sahaja di Sungai Udin tetapi juga di Sungai
Kalumpang dan Sungai Serudung.
--BERNAMA
NAM NAM DC

