12 Apr – Selepas hampir sembilan bulan pasangan selebriti Hollywood, Marc Anthony dan Jennifer Lopez berpisah, akhirnya Marc Anthony telah memfailkan permohonan cerai terhadap isterinya di Mahkamah Tinggi Los Angelas.
Menurut laporan E!online, Anthony dikatakan telah meminta hak penjagaan bersama terhadap anak kembar mereka, Emme dan Max berusia 4 tahun, dan turut meminta hakim untuk menolak nafkah yang perlu diberikan kepada Lopez.
Pasangan yang berkahwin pada tahun 2004 ini telah mengumumkan perpisahan mereka pada Julai tahun lepas, namun mereka tampak seolah-olah bahagia dalam rancangan realiti mereka, "Q'Viva!".
Sebelum ini, Lopez pernah menceritakan tentang kisah perkahwinan mereka pada Vanity Fair.
"Saya memang mahu keluarga saya bahagia. Ia merupakan impian saya, dan saya bekerja keras untuknya. Kami berdua bekerja keras. Namun, kadang-kadang ia seperti tidak berjaya, dan ia sangat menyedihkan. Tetapi saya tetap optimis tentang cinta. Saya percaya cinta. Ia masih impian utama saya," kata Jennifer Lopez atau lebih dikenali dengan panggilan J.Lo.
Tidak lama selepas mereka berpisah, kedua-dua mereka sudah mempunyai pengganti baru dimana Marc kini sedang bercinta dengan seorang model dari Venezuela berusia 24 tahun, Shannon De Lima, manakala J.Lo pula bercinta dengan seorang penari, Casper Smart.


