23 Okt – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang bakal menganjurkan Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) tidak tertekan dalam persiapan untuk menjayakan majlis berprestij yang bakal berlangsung kurang dari dua bulan lagi.
Tidak menyangka festival berprestij ini masih dikekalkan untuk tahun ini, Pengerusi FINAS, Encik Mohd Naguib Razak berharap festival ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak terutamanya daripada persatuan Seniman dan pihak Karyawan sendiri.
"Saya yakin majlis ini akan berjalan lancar walaupun pengumumannya dilakukan agak mengejut. Namun saya yakin, dengan bantuan ramai pihak terutamanya persatuan, majlis ini dapat dijalankan dengan lancar."
Menjanjikan kelainan pada tahun ini , Naguib memberitahu bahawa pada kali ini beliau akan melakukan dengan lebih baik dari segi pencalonan, anugerah, pengisian dan juga atur cara majlis berbanding tahun-tahun terdahulu.
"Kali ini saya memang mahukan pengisian dan juga penghakiman dilakukan dengan telus dan jaya. Pencalonan pula haruslah menepati segala terma dan syarat yang ada.
"Selain daripada itu juga, saya akan memastikan program yang diketengahkan betul-betul bagus dan dapat memberikan gambaran positif mengenai festival berprestij ini."
FFM25 yang bakal diadakan pada 30 Disember di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur kali ini akan bertemakan, "Merayakan Perak, Mengilhamkan Emas".
Pada tahun ini, kira-kira 75 filem cereka yang ditayangkan dari 27 Oktober 2011 hingga 30 Oktober depan layak untuk dipertandingkan, namun hanya 25 buah filem sahaja yang akan dipilih untuk ke peringkat akhir.
FFM yang bakal menjangkau 25 tahun ini dilihat telah membuat pembaharuan daripada pelbagai aspek bagi mengembangkan lagi industri perfileman Malaysia.
Apabila ditanya mengenai pencalonan baru Naguib berkata, buat masa ini pencalonan masih sama namun ianya akan dipertimbangkan setelah melihat sokongan positif penyertaan.
"Dari segi penambahan pencalonan pula saya tidak berani berjanji, kita tengok dahulu jumlah penyertaan. Jika positif kami akan umumkan jika ada penambahan dari segi kategori," katanya yang ditemui di Majlis pplancaran FFM25 di Hotel Intercontinental, KL, petang semalam.
Selain filem cereka, FFM25 turut mempertandingkan filem pendek dan dokumentari. Tarikh tutup penyertaan pada 2 November depan.
Turut dilancarkan pada majlis sama adalah laman web rasmi FFM25 iaitu www.ffm.my.


