30 Jul - Pemain dram Metallica, Lars Ulrich telah mengumumkan bahawa kumpulan tersebut bakal merakam album baru tidak lama lagi.
Dipetik dari Blabbermouth, vokalis dan gitaris James Hetfield memberitahu para media dalam suatu sidang media di Mexico bahawa Metallica kini tidak sabar mahu membuat lagu baru. Berikutan dengan album "Death Magnetic" yang telah diriliskan pada tahun 2008, kumpulan tersebut ingin kembali ke studio pada bulan September untuk mulakan rakaman.
Namun, pembikinan album terbaru tidak mungkin akan mengambil masa yang singkat. Menurut laporan Gibson, Lars Ulrich mengatakan bahawa mereka sedang sibuk dengan pelbagai projek lain.
"Susah hendak kami bayangkan... Bagi saya akhir tahun 2013 itu terlalu optimistik. Secara realistik, saya rasa album itu akan mengambil masa lebih kurang satu tahun setengah dari sekarang, jadi besar kemungkinan awal tahun 2014," ujar Ulrich.
Buat masa terdekat, kumpulan metal yang sudah lama aktif semenjak awal tahun 80-an itu sedang sibuk dengan pembikinan filem 3D. Pengarah filem "Predators", Nimrod Antal bakal merakamkan konsert Metallica yang akan berlangsung di Rogers Arena di Vancouver, Kanada pada 24 hingga 25 Ogos untuk dijadikan filem.
"Penggambaran bagi babak filem yang lain pula akan diambil beberapa minggu selepas persembahan tersebut, kemungkinan minggu ketiga bulan September," sambung Ulrich lagi.
Filem itu dijangka akan diriliskan pada tahun 2013.


