18 Sep – Musim ke-12 bagi siri program realiti "American Idol" tampak lebih menarik berbanding dengan musim sebelumnya dengan kombinasi juri baru berlainan genre seperti Mariah Carey, Randy Jackson dan yang terbaru sekali, Nicki Minaj serta Keith Urban.
"Dengan adanya bintang seperti Mariah yang tiada tandingannya, Randy yang jelas disukai ramai, Nicki dan Keith yang berjaya menaiki carta teratas dengan lagu hit mereka, dan juga pengacara hebat seperti Ryan, kami telah mengumpulkan bersama panel juri yang bakal memberikan kelainan kepada rancangan," kata Mike Darnel, presiden hiburan alternative bagi Syarikat Siaran Fox, seperti yang dipetik dari laporan Fox baru-baru ini.
Namun, di sebalik dinamik kombinasi tersebut, ada juga dramanya kerana baru-baru ini, terdapat khabar angin melaporkan beberapa pertengkaran kecil yang berlaku di antara Mariah dan Nicki, sebaik sahaja Nicki disahkan sebagai juri terbaru.
Pertelingkahan bermula apabila Mariah sering mencelah setiap kritikan yang diberikan Nicki terhadap peserta, membuatkan Nicki menjawab semula dengan meninggikan suaranya. Hal itu menyebabkan Mariah berpaling pada Twitter dengan meletakkan sebuah tweet yang berbunyi sinis seperti: "detik klasik sepanjang rakaman "Idol"."
Khabar angin tersebut dinafikan Mariah di sebuah sidang media apabila beliau mengatakan bahawa pergaduhan tidak mungkin berlaku dalam hanya dua hari.
Nicki pula tidak memberi sebarang komen dan hanya memberitahu beliau gembira menjadi juri rancangan tersebut.
Walau apapun yang sedang berlaku, penonton boleh lihat sendiri di musim terbaru "American Idol" yang bakal bermula pada bulan Januari 2013.


