Pemilik nama penuh Nikita Purnama Willy atau lebih selesa menggunakan nama Nikita Willy cukup terkenal di Indonesia. Bakat lakonan yang dimiliki oleh gadis ini cukup baik sehingga sering menghiasi dan mendapat tawaran untuk membintangi sinetron-sinetron di negaranya. Pelakon dan penyanyi berusia 17 tahun ini sempat berkunjung ke Malaysia baru-baru ini bagi tujuan mempromosikan single lagu terbarunya, "Ku Tetap Menanti". Kami berkesempatan bertemu dengannya dan mengajukan beberapa soalan yang berkaitan dengan filem dan pawagam. Ikuti temubual bersama Nikita Willy yang diadakan di Artista Bar & Restaurant, Tropicana City Mall, Petaling Jaya, Malaysia. Hai Nikita. Apa khabar? Apakah filem terbaru yang anda tonton di pawagam?
Hai! Khabar baik. Filem terbaru yang saya tonton adalah filem "The Twilight Saga: Breaking Dawn". Sebenarnya saya tidak begitu menyukai filem francais "Twilight" ini. Namun saya menontonnya kerana saya sukakan Jacob Black yang dilakonkan oleh Taylor Lautner (ketawa).
Apakah makanan wajib atau biasa dibeli ketika menonton di pawagam?
Sudah semestinya bertih jagung! Jika tidak, sudah pasti saya akan tertidur di dalam pawagam.
Siapakah pelakon kegemaran anda?
Ini adalah soalan cukup susah untuk dijawab kerana terlalu ramai pelakon saya minati. Namun jika saya harus memilih, saya akan mengatakan saya meminati dan mengagumi Johnny Depp kerana dia seorang aktor yang mampu membawa pelbagai karakter dan cukup berbakat. Dia seorang yang menakjubkan!
Ini adalah soalan rawak. Jika orang yang duduk bersebelahan anda berbau busuk, apakah yang anda akan lakukan?
(Ketawa). Sudah pasti saya akan bangun dari tempat duduk saya dan mencari tempat yang lebih baik dan selesa.
Filem apakah yang menerangkan fantasi romantik anda?
Saya akan memilih "Love And Other Drugs" kerana ia sangat romantik dan melucukan. Saya suka menyaksikan keserasian antara Jake Gyllenhaal dan Anne Hathaway.
Siapakah adiwira kegemaran anda?
Bunyinya mungkin kedengaran klise tetapi adiwira kegemaran saya semestinya ibu tercinta.
Filem apakah yang anda tonton berulang kali tetapi tidak berasa bosan?
Filem "Disturbia" arahan D.J. Curoso yang dilakonkan oleh Shia LaBeouf, David Morse dan Carrie-Ann Moss. Ia mempunyai jalan cerita yang menarik dan elemen mengejut.
Filem apakah yang anda paling nanti-nantikan untuk ditayangkan di pawagam?
Saya tidak sabar menunggu filem "The Hangover 3" kerana saya sudah mengikuti dua buah filemnya sebelum ini.
Apakah filem yang membuatkan anda rasa menyesal menontonnya?
Baru-baru ini saya ada menonton filem "The Adventures Of Tintin". Ia adalah sebuah filem yang membosankan saya.
Filem apakah yang membuatkan anda menangis dan tersentuh ketika menonton?
"Hachiko" merupakan filem yang telah membuatkan saya menangis. Ia menceritakan kisah benar tentang seekor anjing yang cukup setia dengan tuannya walaupun sudah meninggal dunia. Memang menangis!
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa bersama kami. Selamat berjaya dalam karier anda!
Terima kasih!


