Oleh Mohd Farhan Darwis
KUALA LUMPUR, 5 Julai — Panel siasatan bebas perhimpunan Bersih 3.0 hari ini mengesahkan mereka masih berusaha menghubungi penganjur perhimpunan duduk bantah, Bersih, Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk turut serta dalam inkuiri siasatan perhimpunan pada 28 April lalu.
“Kami sedang berusaha untuk menghubungi pihak Majlis Peguam dan Bersih. Seketariat siasatan panel bebas Bersih juga bersedia menurut permintaan mereka sama ada ingin berjumpa di pejabat mereka, atau pun pejabat kami,” kata Pengerusi Panel Siasatan Bebas Bersih, Tun Hanif Omar (gambar) kepada pemberita.
Menurut Hanif, pihaknya juga sedang menantikan panggilan daripada Suhakam untuk bekerjasama dengan panel yang diketuainya itu.
“Saya tidak boleh panggil Suhakam untuk memberikan keterangan. Mereka panel yang dilantik berdasarkan Akta Parlimen.
“Mereka boleh panggil orang. Tapi mereka mungkin ada pemerhati mereka pada hari itu. Kami akan berhubung dengan Suhakam untuk mendapatkan laporan mereka dan kami akan bekerjasama dengan mereka.”
Jelas Hanif lagi, pihaknya juga tidak menetapkan jangka masa tertentu untuk siasatan tersebut, sebaliknya, hanya akan menjalankan siasatan terperinci sebelum menyerahkan laporan lengkap siasatan panel tersebut.
“Kami tidak mempunyai jangkamasa tertentu dalam siasatan ini. Kerajaan mengarahkan kami siasat, dan kami akan melakukan penyiasatan secara telus tanpa berat sebelah,” katanya dan menambah,” kami tidak meletakkan sasaran dalam penyiasatan ini.”
MENYUSUL LAGI


