Advertisement

Pekin & Mislina bak Romeo & Juliet!

Persahabatan dua pelakon meningkat naik, Pekin Ibrahim dan Mislina Mustaffa nampaknya semakin mesra sejak kebelakangan ini. Mereka kelihatan berdua-duaan di kebanyakan majlis awam mahupun membeli-belah di kompleks membeli belah serata ibukota.


Apabila ditanya tentang kemesraan beliau dengan Mislina Mustaffa, pelakon filem yangpernah membintangi filem arahan Mamat Khalid, Hantu Kak Limah Balik Rumah itu tidak menafikannya.


Kemesraanya dengan pelakon yang pernah bekerja di bawah arahan Allahyarham Yasmin Ahmad, Osman Ali, Chris Chong dan ramai lagi itu mula dibau sejak penglibatan merekaberdua di dalam sebuah produksi teater terbitan Rumah Anak Teater, pementasan teater Ju&Meo.


"Membawakan watak bercinta dengan Mislina, seorang pelakon yang cukup berpengalaman sememangnya sukar. Mis tahu apa yang diinginkan oleh pengarah dan saya perlu mendapatkan  standard itu agar kualiti naskhah tersebut terjaga,” ulas Pekin.


Pelakon yang berasal dari Kelantan itu mengaku sukar untuk mengucapkan skrip berbahasa Inggeris. “Mis lah yang banyak membantu saya. Dan saya dapat lihat peningkatan pertuturan Bahasa Inggeris saya”, ujar Pekin lagi.


Sememangnya mengenali Mislina Mustaffa, beliau tidak mudah untuk menerima tawaran berlakon, apatah lagi sebuah pementasan teater yang memerlukan latihan yang panjang.

Tetapi, apabila Rumah Anak Teater menawarkan watak Ju kepada beliau, Mislina tidak menolak lagi, apa lagi apabila mengetahui akan digandingkan dengan Pekin.

 

Ju&Meo akan dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala  Lumpur bermula 20 Januari ini. Pementasan ini dikembarkan dengan persembahan monolog Kampung Chetek, oleh pengacara program hiburan Melodi yang disiarkan di saluran TV3, Dira Abu Zahar melalui Projek Teater AKU MANUSIA BERDOSA arahan Nur Ahmad.

 

Aku Manusia Berdosa ialah tema yang diberikan kepada projek pementasan dua dalam satu yang turut mementaskan pementasan teater monolog Kampung Chetek lakonan pengacara Melodi, Dira Abu Zahar.

 

Aku Manusia Berdosa juga pernah diterbitkan oleh syarikat penerbitan indie, Merpati Jingga dan dilancarkan oleh pengarah filem tidak asing lagi, U-Wei Haji Shaari pada 14 Disember 2011 lalu di Balai Seni Visual Negara. Kedua-dua skrip tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian dalam buku skrip Aku Manusia Berdosa itu.

 

Ju&Meo menceritakan mengenai percintaan dua sejoli yang meraikan bulan madu mereka ke lima ratus. Pada kali ini. Romeo ingin membuat kelainan atas sambutan ulangtahun mereka.

 

Ju&Meo dan Kampung Chetek, kedua-duanya diarahkan oleh Nur Ahmad yang juga merupakan penulis bagi buku Aku Manusia Berdosa itu.

 

Bermula dengan sering datang ke studio latihan bersama hinggalah ke warung kopi selepas latihan, mereka juga sering kelihatan bersama di lokasi penggambaran drama terbaru lakonan Mislina, di bawah arahan Osman Ali.

 

Memainkan watak Meo, Pekin nampak selesa digandingkan dengan Ju yang dipertanggungjawabkan untuk temannya itu. Ju&Meo ialah di bawah inspirasi naskah Shakespeare, Romeo and Juliet.

 

"Kita tahu tentang naskhah karya Shakespeare, Romeo and Juliet dan naskhah Ju&Meo memberikan terjemahan mengikut gaya penceritaan bangsa kita yang masih berteraskan agama Islam. Itulah uniknya Ju&Meo,” tambah Pekin lagi.

 

Bagi Mislina pula, dia mendapati Ju&Meo mempunyai kelainan tersendiri. Kita mungkin sudah mengetahui karya William Shakespearre. Tetapi, Ju&Meo menceritakan hasrat Ju yang cuba membunuh diri atas kekecewaannya dalam percintaan.

 

"Inilah yang ingin ditekankan di dalam karya ini”, kata Mislina. "Saya tidak mempercayai hubungan seks tanpa cinta. Sebagai wanita, saya cukup faham dengan naluri mereka yang mempunyai keinginan untuk membunuh diri atas kekecewaansedemikian. Namun, bunuh diri bukanlah jalan penyelesaian”, ujar Mislina dengan serius.

 

"Kalau kami kelihatan bersama, itu maknanya sedang mendalami watak kami untuk watak tersebut. Kami mahu memberikan yang terbaik kepada khalayak teater tempatan yang dahagakan naskhah bermutu dihidangkan kepada mereka. Mereka telah terlalu dilambakkan dengan naskhah teater muzikal. Ini harapan besar kami,” ujar Pekin mengakhiri bicara.

 

Sememangnya jarak usia bukan penghalang sesebuah percintaan. Jarak usia mereka berdua hampir sepuluh tahun. Sebelum ini Pekin pernah digosipkan bercinta dengan pelakon Ayu Raudhah yang kini sudah pun berkahwin dengan pemain bolasepak selebriti negara, Zaquan Adha.

 

Selain terlibat dengan Ju&Meo, Pekin Ibrahim turut membintangi beberapa buah filem yang bakal menemui peminatnya di seluruh tanah air pada tahun 2012, antaranya Bunohan, Aku Kau & Dia, Rock Oo! dan Apokalips.