Anda ada dua akaun bank? Dua buah kereta? Dua orang isteri? Satu tidak cukup untuk anda? Atau dua membuatkan anda rasa selamat?
Mungkin itu juga alasan mengapa sesetengah filem memiliki dua pengakhiran. Satu dipanggil 'penamat asal' dan satu lagi 'penamat alternatif'.
Antara filem-filem yang memiliki dua penamat termasuk:
ARMY OF DARKNESS (1992)
Dalam bahagian ketiga trilogi "Evil Dead" ini, Universal Studio meminta pengarahnya Sam Raimi untuk menghasilkan pengakhiran yang lebih mengejutkan. Oleh sebab itu selain daripada pengakhiran asal yang gembira di mana Ash kembali ke masa depan dan kembali bekerja di S-Mart, pengakhiran alternatif "Army Of Darkness" memaparkan akibat daripada sifat Ash yang cuai dan tidak ambil pusing dengan arahan yang diberikan. Selepas meminum posyen tidur yang berlebihan, dia terlepas waktu yang sepatutnya untuk dia bangun dan tersedar daripada lena yang panjang dalam dunia pasca-apokalips yang telah musnah akibat perang global.
I AM LEGEND (2007)
Francis Lawrence sepatutnya menggunakan pengakhiran yang lebih menepati adaptasi sebenar karya Richard Matheson. Dalam karya Matheson, mesej yang ingin disampaikan ialah Neville itu sendiri legenda kerana kewujudannya secara individual di kalangan 'masyarakat pontianak'. Oleh sebab itu, pengakhiran sebenarnya ialah babak Neville membuka pintu cermin bilik bawah tanahnya dan menyerahkan semula pontianak betina yang dijadikan eksperimennya dan memohon maaf kepada ketua pontianak. Namun begitu, tidak semua penonton memahami apa yang cuba disampaikan oleh Matheson dalam karyanya atau mungkin mereka tidak pernah membacanya, menyebabkan babak tersebut nampak mengarut dan kurang memuaskan – dan menyebabkan ia gagal dalam tayangan ujian. Oleh sebab yang demikian, Lawrence menggunakan penamat alternatif di mana Neville musnah bersama-sama sekumpulan pontianak demi menyelamatkan wanita dan budak lelaki yang ditemuinya sehari sebelum itu. Mungkin penonton masih belum bersedia dengan maksud tersirat sesebuah filem dan lebih sukakan kemusnahan.
LITTLE SHOP OF HORRORS (1986)
Karya Frank Oz ini mungkin memaparkan begitu banyak komedi gelap, namun para penonton tayangan ujian tidak dapat menerima pengakhiran asal yang dihasilkan. Dalam penamat asal, watak utama dan kekasihnya akhirnya dimakan oleh tumbuhan karnivor bernama Audrey II itu. Kemudian bunga Venus Flytrap tersebut akan membuat onar di tengah-tengah bandaraya New York sebelum Audrey II memanjat Statue of Liberty dan kemudian memakan skrin. Namun begitu, ketidakpuasan penonton menyebabkan babak bernilai lima juta dolar ini dibuang dan pengakhiran alternatif dibuat – di mana Audrey II menerima kejutan elektrik di kedai bunga dan dua watak utama hidup bahagia sebagai pasangan suami isteri.
THE BUTTERFLY EFFECT (2004)
Dalam penamat yang ditayangkan di pawagam, watak Ashton Kutcher membuat keputusan untuk tidak membuat sebarang hubungan dengan cinta sejatinya selepas gagal menyelamatkannya dalam usahanya kembali ke masa lampau dan hanya menyebabkan kekusutan dalam masa depan. Namun begitu, penamat asal filem ini yang tidak ditayangkan lebih mengarut kerana watak Kutcher membuat keputusan bahawa keadaan lebih baik jika dia tidak dilahirkan dan cuba untuk kembali ke masa lampau – terus ke dalam perut ibunya. Sementara berada di dalam perut ibunya, dia menjerut lehernya sendiri dengan tali pusat!
28 DAYS LATER (2002)
Dalam filem seram pasca-apokalips arahan Danny Boyle ini, pengakhiran asal yang dihasilkan adalah satu babak di mana Jim (Cillian Murphy) mati dari tembakan pistol sekalipun cuba diselamatkan oleh dua rakannya. Namun begitu, selepas penonton tayangan ujian merasakan penamat itu terlalu menyedihkan, Boyle membuat keputusan mengubahnya menjadi babak di mana mereka bertiga cuba menarik perhatian sebuah jet penyelamatan. Namun begitu, Boyle dan penulis skrip Alex Garland masih komited dengan penamat asal, jadi mereka memutuskan untuk meletakkan babak yang ditolak oleh penonton tayangan ujian di hujung kredit dan membuatkan babak penyelamatan itu kelihatan seolah-olah ia hanya bayangan Jim yang sedang nazak!
CLUE (1958)
Dalam filem "Clue" yang diadaptasi daripada permainan papan Hasbro tentang penyiasatan terhadap pembunuhan di sebuah rumah agam, pihak penerbit menjelaskan bahawa mereka tidak sekadar memiliki penamat asal dan alternatif, malah mereka sebenarnya telah menghasilkan tiga penamat yang bergantung pada tiga cara berbeza dan ketiga-tiganya ditayangkan di pawagam. Pawagam akan memilih penamat mana yang mereka mahu tayangkan dan diberi pilihan cara untuk melakukannya, sama ada setiap penamat ditayangkan di dewan panggung yang berbeza-beza atau mereka akan memilih secara rawak. Malah ketika ia dikeluarkan dalam bentuk pita video, ketiga-tiga penamat tersebut dimasukkan dan anda boleh menonton semuanya!


