16 Jan – Pembikin filem, John McTiernan, yang terkenal dengan filem arahannya, "Die Hard", bakal dipenjarakan di penjara persekutuan berikutan dari penglibatannya dalam skandal mencuri dengar perbualan Anthony Pellicano, iaitu seorang bekas detektif dari Hollywood yang kini berada di penjara.
Menurut The Hollywood Reporter, hukuman penjara setahun bersama denda sebanyak AS $100,000 (RM301,475) sudah pun dijatuhkan ke atas pengarah berumur 62 tahun itu setelah mengaku bersalah kerana memberikan kenyataan tidak benar kepada pihak FBI yang sedang menyiasat aktiviti Pellicano.
Rayuan McTiernan untuk penarikan semula pengakuan bersalah telah ditolak oleh pihak mahkamah tertinggi Amerika Syarikat pada Isnin lalu. Sebelum ini juga, rayuan yang dibuat kepada mahkamah rayuan Amerika Syarikat pernah ditolak pada bulan Ogos tahun lepas.
Beliau turut gagal mencuba untuk menahan rakaman digital yang mengandungi perbualan mengenai penggunaan sambungan telefon secara haram oleh Pellicano yang dilantik untuk menyiasat penerbit filem, Chuck Roven.
Setelah tamat tempoh penjara selama setahun, McTiernan akan dilepaskan tetapi masih berada di bawah pemerhatian pihak berkuasa selama tiga tahun.



Best Travel Stories