20 Sep – Berita baik buat anda yang ingin cuba berlakon di filem tempatan kerana penerbit Everything Films kini sedang mencari bakat baru untuk filem terbaru di bawah arahan Liew Seng Tat yang bertajuk "In What City Does It Live?"
Diterbitkan oleh Liew sendiri bersama Dennis Vaslin, Yen San Michelle Lo dan Sharon Gan, filem ini adalah berdasarkan skrip yang ditulis Liew sepanjang beliau menjadi pembikin filem di Cinefondation Cannes Residency di Perancis beberapa tahun yang lalu.
Filem terbitan bebas ini berkisarkan mengenai pertembungan di antara dua lelaki yang berlainan latar belakang apabila salah seorang dari mereka, Pak Awang yang merupakan orang kampung, berpindah dan memulihkan semula sebuah rumah terbiar berdekatan dengan kampung sebagai hadiah perkahwinan kepada anaknya. Manakala seorang lagi, yang berasal dari Nigeria dan bernama Solomon ditakdirkan untuk masuk ke rumah tersebut demi menyembunyikan dirinya dari polis.
"In What City Does It Live?" bertujuan memaparkan beberapa tema seperti pengasingan, pemilikan dan penerimaan melalui semangat padu masyarakat kampung dan diselitkan bersama ironi, kepercayaan tahayul, isu perkauman serta jenaka.
Buat masa ini, Liew sedang mencari lelaki Afrika yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 28 tahun. Walaubagaimanapunm, salah seorang daripadanya harus mempunyai ketinggian 180cm ke atas manakala seorang lagi setinggi 160cm ke bawah. Pihak produksi juga memerlukan seorang lelaki Melayu yang berumur dalam lingkungan 45 hingga 55 tahun dan memiliki mata sepet.
Sesi uji bakat bakal diadakan pada 29 sehingga 30 September bermula dari jam 11 pagi sehingga 7 malam.
Jika anda berminat, bolehlah menghantar gambar dan butir-butir peribadi menerusi email kepada info@everythingfilms.net .
Everything Films adalah sebuah syarikat produksi tempatan bebas yang diasaskan oleh Liew dan Gan pada tahun 2010. Liew mula menempa nama sebagai pengarah, penulis dan penerbit filem dengan filem sulungnya yang bertajuk "Flower In The Pocket". Filem tersebut telah berjaya mengaut beberapa anugerah di Festival Filem Antarabangsa di Busan, Rotterdam, Fribourg and Pesaro.


