Advertisement

Penyanyi Siti Nurhaliza prihatin


Tidak sampai seminggu banjir besar melanda negeri di Pantai Timur tanahair, penyanyi No. 1 negara Siti Nurhaliza Taruddin turun padang bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di daerah Kuantan, Pahang.

Bantuan yang dibawa termasuk barangan  makanan dan keperluan peribadi golongan wanita serta lampin pakai buang untuk kanak-kanak dan bayi itu merupakan sumbangan daripada Yayasan Nurjiwa dan SimplySiti.

Siti turut ditemani suaminya Khalid Jiwa yang turut membantu mengagih-agihkan bantuan yang dibawa. Mereka menghabiskan masa hampir sehari suntuk memberikan sumbangan secara peribadi kepada mangsa banjir di Sekolah Menengah Gudang Rasau dan Sekolah Kebangsaan Pandan di daerah itu.

Anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu turut sempat merakamkan aksinya di laman Instagram peribadinya.

BACA:
Siti Nurhaliza tegur Khairy Jamaluddin hormat orang

Siti Nurhaliza kembali ke Royal Albert Hall?
Percutian eksotik Datuk Siti Nurhaliza

Dalam satu imej yang dimuat naik, Siti kelihatan begitu tersentuh ketika dia meluangkan sedikit masa melawat sebuah keluarga yang memiliki seorang warga tua yang sedang terbaring sakit.

Siti turut menulis di Instagramnya: “Duhai Allah,dikau gantikan segala kesusahan & keperitan keluarga ini dengan kebaikan dan limpah rahmatmu yg berganda ganda baik. Amin…”

Seharusnya, sifat prihatin penyanyi tersohor itu harus dicontohi artis-artis tanahair. Mungkin ada yang tidak mampu untuk turun padang kerana tuntutan kerja tetapi menghulurkan bantuan dari jauh. 

Buat masa ini, seramai lebih 33,952 mangsa banjir masih ditempatkan di 141 pusat pemindahan di sembilan buah daerah yang terjejas akibat bajir di Pahang.

Kuantan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 27,700 orang di 35 pusat pemindahan di sekitar bandar itu.