11 Mei – Pegawai perhubungan awam (PR) kepada penyanyi pop Mizz Nina, Joe Saiful menafikan dakwaan yang mengatakan dia telah menghantar e-mel kepada rakan-rakan dan pihak media untuk meminta bantuan kewangan.
Menurut laporan Daily Chilli, Joe Saiful mendakwa akaun gmailnya telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Akaun e-mel saya diceroboh pihak tidak bertanggungjawab. Sejurus selepas Nina mendapat tahu berita tersebut, dia terus menghubungi saya dan mengatakan kenapa tidak meminta bantuan darinya sahaja jika memerlukan duit", jelas Joe.
Isi Kandungan e-mel yang dihantar pada 10 Mei yang lalu telah meminta bantuan sebanyak €2,400 (RM9,530) kerana dia dirompak di Sepanyol.
Joe kemudiannya meminta kepada semua pihak yang menerima email tersebut supaya jangan mempercayainya kerana ia adalah palsu.


