Advertisement

Rabecca Nur Islam desak Erma Fatima henti menfitnahnya

Rabecca Nur Islam desak Erma Fatima henti menfitnahnya

15 Nov – Pelakon jelita Rabecca Nur Islam mendesak pengarah terkenal Erma Fatima agar berhenti menabur fitnah terhadapnya tatkala menuduhnya artis yang teruk dan tidak berdisplin.

"Kes sudah selesai. Tapi nampaknya ia seperti belum selesai apabila dia masih lagi memfitnah saya mengatakan saya tidak berdisiplin. Keadaan itu boleh menjejaskan periuk nasi saya apabila pihak penerbit drama atau filem mungkin tidak akan menawarkan saya berlakon," ujarnya kepada mStar.

Menurut pelakon berusia 27 tahun itu, sekiranya Erma tidak berpuas hati, beliau boleh membuat rayuan di mahkamah tetapi tidak perlulah memburukkan namanya di laman sosial Twitter dan Instagram.

"Senang saja, jika tidak puas hati atau enggan membayar, buat saja rayuan di mahkamah. Tidak perlu memburukkan saya di laman sosial. Sekiranya dia masih lagi memfitnah, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan selanjutnya."

Sementara itu, Erma atau nama sebenarnya Fatimah binti Rahmad enggan mengulas lanjut berhubung kes berkenaan dan akan akur dengan perintah mahkamah.

Erma berkata, dia tetap akan membayar wang sebanyak RM 11,000 kepada Rabecca tetapi tidak akan menghalalkannya

"Saya akan bayarkan wang itu kepada Rabecca tetapi saya tidak akan halalkannya. Kekalahan saya di mahkamah atas sebab-sebab teknikal. Saya pun tak mahu panjangkan kes ini lagi."

Terdahulu, Rebecca telah memfailkan saman di mahkamah majistret Kuala Lumpur terhadap syarikat produksi Erma iaitu Rumah Karya Citra (M) Sdn. Bhd. selepas gagal membayar baki bayaran lakonannya sebanyak 40 peratus untuk drama "Dejavu Di Kinabalu".

Pada 8 November lalu, Rabecca berjaya memenangi kes tuntutan terhadap Erma Fatima, dan pihak mahkamah telah mengarahkan Erma untuk mengembalikan baki jumlah wang lakonan Rabecca sebanyak 40 peratus berserta lima peratus faedah daripada bayaran selain membayar kos guaman kepadanya.