Rabecca Nur Islam kesal dengan tuduhan Erma Fatima

Rabecca Nur Islam kesal dengan tuduhan Erma Fatima

12 Nov – Selepas menang kes saman terhadap Erma Fatima, pelakon drama Rabecca Nur Islam berharap pengarah terkenal itu dapat menerima kenyataan segala yang berlaku adalah ketentuan Tuhan.

"Saya harap dia berpijak di bumi yang nyata. Terimalah qada dan qadar Allah SWT. Itu adalah ketentuan Tuhan," ujarnya seperti dipetik dari Sinar Harian.

Malah Rabecca juga memberitahu ia terpulang kepada Erma jika ingin membawa kes saman tersebut ke mahkamah tinggi kerana dia mempunyai hak berbuat demikian, walaupun mahkamah sebelum ini telah memutuskannya berada di pihak yang benar.

Namun begitu, Rabecca menganggap isu kontrak tidak boleh dijadikan alasan dan tidak perlu dipersoalkan kerana ia adalah atas persetujuan bersama sebelum ditandatangani lagi.

"Dalam perjanjian itu, saya dimaklumkan akan berlakon sehingga 28 episod. Tetapi di saat-saat akhir, saya disingkirkan atas alasan yang tak munasabah.

"Memang itu hak dia untuk singkirkan saya. Tapi sebagai pelakon, hak saya telah diketepikan kerana tidak dimaklumkan," jelasnya lagi.

Pelakon berusia 27 tahun itu juga terkilan apabila dituduh tidak berdisplin oleh pengarah berkenaan menerusi sebuah akhbar tempatan kerana baginya tuduhan itu boleh menjejaskan rezekinya.

"Lebih teruk lagi, saya pula dituduh tak berdisiplin. Ia sekaligus menutup periuk nasi saya sebab produksi lain takut nak ambil saya berlakon."

Dalam perkembangan lain, isteri kepada peguam Nor Azam ini akan melakukan sidang media khas dalam masa terdekat untuk menghurai perkara ini dengan lebih mendalam.

Terdahulu, Rebecca telah memfailkan saman terhadap syarikat produksi Erma iaitu Rumah Karya Citra (M) Sdn. Bhd. selepas gagal melunaskan baki bayaran lakonannya sebanyak 40 peratus untuk drama "Dejavu Di Kinabalu" tahun lalu.