31 Dis – Penerbit filem popular, Raja Azmi, terkejut apabila mendapat berita mengenai penganjuran Anugerah Filem Festival Filem Antarabangsa Asean 2013 (AIFFA 2013) yang buat pertama kalinya diadakan di mana Malaysia bertanggungjawab sebagai tuan rumah dan ianya dilaksanakan oleh Kementerian Perlancongan Sarawak.
"Saya terkejut kerana tiba-tiba saja festival ini diadakan. Terkejut kerana pihak penganjur langsung tiada pengalaman, jadi bagaimanakah agaknya pelaksaan anugerah itu nanti. Tapi walau apa pun, saya tidak sabar mahu menyaksikan apa yang akan berlaku di malam anugerah itu nanti," kata Raja Azmi kepada Malaysian Digest.
Kata penerbit filem "...Dalam Botol", dia bukan mahu memperlekehkan kemampuan pihak penganjur tetapi hanya kurang yakin dengan kredibiliti penganjur dalam mengadakan anugerah besar itu.
Bagaimanpun, Raja Azmi memberi pujian kerana sikap pihak penganjur yang berani dan semangat dalam memastikan acara yang akan mengiktiraf para penggiat filem dari luar negara.
"Secara jujurnya, saya tidak berapa yakin dengan penganjuran anugerah ini. Sedangkan pelaksanaan Filem Festival Malaysia (FFM) yang melibatkan orang-orang berpengalaman dalam industri perfileman pun masih kucar-kacir, inikan pula pihak yang tiada pengalaman dan ia akan melibatkan kehadiran ramai penggiat filem dari luar. Tapi pujian harus diberikan kepada mereka kerana berani menganjurkan anugerah berprestij ini."
Malam AIFFA 2013 yang akan berlangsung di Sarawak itu bakal mengiktiraf filem-filem dari 10 negara Asean iaitu Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam dan Laos.
Festival yang akan bermula pada 28 Mac hingga 30 Mac 2013 itu akan dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan para pembikin filem terkenal dari negara Asean, Bollywood dan Hollywood yang turut boleh disertai oleh orang awam.


