11 Sep – Penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman enggan memberi komen mengenai isu gambar yang tersebar di antara bekas suaminya, Jalani Sidek bersama Datuk Zaleha satu ketika dahulu kerana beranggapan ia adalah terlalu peribadi untuk diceritakan.
Kisah Raja Azmi dan Jalani yang telah bercerai secara baik pada 27 Jun lalu kembali hangat diperkatakan selepas sebuah akhbar mingguan menyiarkan gambar Jalani bersama wanita yang pernah digosipkan bercinta ketika mereka masih berkahwin menyambut Syawal bersama-sama.
Walaubagaimanapun penerbit "... Dalam Botol" ini mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri bagi menjaga hati ramai pihak dan lebih gemar bercerita tentang kehidupannya selepas kembali solo setelah mendirikan rumah tangga selama 28 tahun.
"Mengenai isu gambar tersebut, saya tidak mahu memberikan komen lebih-lebih kerana merasakan terlalu peribadi untuk diceritakan.
"Saya gembira dengan kehidupan sekarang. Walaupun orang cakap mungkin sunyi sikit tapi pada saya semuanya sama, tidak ada yang berubah.
"Tambahan pula dengan kerja yang banyak dan mempunyai rakan yang seringkali menemani, sunyi itu mungkin tiada dalam kamus hidup saya," ujar Raja Azmi ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya lagi, dia berasa sangat teruja dengan status solonya ini kerana tempoh perkahwinan yang lama memberikan pengalaman yang berbeza.
"Tidak dapat digambarkan perasaan saya kini kerana semuanya berubah dan saya menyukai perubahan ini."
Ditanya pula mengenai reaksi dan perasaannya apabila melihat gambar mesra tersebut, Raja Azmi berkata, "Saya langsung tidak berasa kecewa dengan penyebaran gambar tersebut kerana merasakan hubungan saya dan Jalani sekarang tidak lebih dari kawan dan bapa kepada anak-anak saya."
Ujarnya, walaupun kini tinggal berasingan, Jalani dan anak-anak sememangnya amat rapat dan masih berhubungan seperti biasa. Malah akan menjemput bekas suaminya itu sekiranya mengadakan majlis kekeluargaan.
"Saya tiada masalah dengannya, begitu juga dengan anak-anak. Kasih sayang antara mereka tidak berbeza walaupun kami sudah tidak bersama," jelasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Raja Azmi bakal memulakan pengambaran di Bali, Indonesia dalam waktu terdekat untuk telefilem terbarunya berjudul "Akar", lakonan adik-beradik Zahiril Adzim dan juga abangnya, Khairil Anhar.


