23 Okt – Kematian pembikin filem lagenda, Yash Chopra yang turut dikenali sebagai raja romantik di dunia Bollywood membawa kepada satu kehilangan besar yang nyata dirasai oleh seluruh industri perfileman di India.
Menurut laporan Indian Express, Chopra menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Lilavati pada hari Ahad yang lepas, berikutan dari jangkitan denggi dan kegagalan fungsi organ yang dihidapi.
Pengarah, penulis skrip serta penerbit filem itu baru sahaja menyambut hari jadinya yang ke-80 pada bulan lepas yang mana pada hari tersebut, beliau mengumumkan niatnya untuk bersara dari membuat filem.
Filem terakhir beliau yang berjudul "Jab Tak Hai Jaan" bakal diriliskan pada 13 November. Barisan pelakon Bollywood popular yang membintangi filem tersebut adalah Shah Rukh Khan, Katrina Kaif dan Anushka Sharma.
Sepanjang kerjaya beliau selama hampir 53 tahun dalam dunia filem Hindi, Chopra telah mengarah sebanyak 22 filem yang kebanyakannya bergenre romantik. Filem pertama beliau yang bertajuk "Dhool Ka Phool" diriliskan pada tahun 1959 dan mengetengahkan isu anak luar nikah.
Antara filem-filem beliau yang popular adalah seperti "Kabhie Kabhie", "Silsila", "Chandni", "Lamhe", "Darr", "Dil Toh Pagal Hai" dan "Veer Zara". Bintang-bintang Bollywood popular yang pernah bekerjasama dengan beliau termasuklah Amitabh Bachchan dan Rajesh Khanna.
Pemikiran beliau yang tidak mengikuti arus konvensional membuatkan beliau berjaya mengaut enam Anugerah Filem Nasional.
Beliau turut diberi Anugerah Dadasaheb Phalke pada tahun 2001 dan Anugerah Padma Bhushan pada tahun 2005 sebagai penghormatan kepada sumbangan beliau dalam industri filem Hindi.
Tema cinta yang dibawa sering berlainan dalam setiap filem seperti infatuasi, obsesi, hubungan di luar nikah, cinta sejati dan juga cinta yang merentasi sempadan.
Atas hasil minat yang mendalam terhadap filem, syarikat Yash Raj Films yang dimiliki beliau berjaya menjadi salah sebuah syarikat penerbitan filem yang paling terkemuka di India dan di mata dunia.


