14 Sept– Penyanyi popular Indonesia, Rossa tampil dengan buah tangan terbaru, "The Best Of Rossa", sebuah album kompilasi yang memuatkan lagu-lagu hitsnya.
Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 34, berkata, album "The Best Of Rossa" dihasilkan khas buat pecinta Rossa agar mereka boleh menikmati lagu-lagu terbaiknya selama ini.
"Lagu-lagu yang terdapat dalam album terbaru saya ini adalah lagu-lagu yang secara peribadi paling saya suka dan pernah menduduki carta nombor satu di radio-radio seluruh Indonesia dan Malaysia," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Album "The Best Of Rossa" di The Venue, Pavilion, Kuala Lumpur, petang semalam.
Album kompilasi ini memuatkan 16 buah lagu antaranya "Pudar", "Ayat-Ayat Cinta", "Tegar", "Atas Nama Cinta", "Ku Menunggu", "Terlanjur Cinta", "Aku Bukan Untukmu", "Malam Pertama", "Sakura", dan "Hati Yang Kau Sakiti".
"The Best Of Rossa" turut memuatkan lima buah lagu baru iaitu "Ku Pinang Kau Dengan Bismillah" duet bersama Ungu, "Aku Bersahaja" duet bersama penyanyi Singapura Taufik Batisah, "Jangan Ada Dusta Di Antara Kita" iaitu lagu nyanyian semula oleh Rossa daripada lagu Almarhum Broery Marantika & Dewi Yull, dan "Tak Sanggup Lagi" ciptaan Aji Mirza Hakim atau lebih dikenali sebagai Icha Jikustik.
Rossa turut membuat sebuah lagu duet bersama raja hip-hop Malaysia, Joe Flizzow menerusi lagu rancak berjudul "One Night Lover".
Album kompilasi "The Best Of Rossa" yang diedarkan oleh Suria Records ini sudah pun mula dijual di pasaran.
Sementara itu, Rossa memberitahu bahawa dia bakal menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah pada 12 Oktober depan.
Ibu tunggal kepada Rizky Langit Ramadan yang berusia lima tahun ini berkata, perancangan untuk menunaikan haji sudah dilakukan sejak tahun lalu dan dia merasakan tahun ini adalah waktu yang sesuai untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu. "Saya akan menunaikan haji seorang diri. Saya mula terfikir mengenai hasrat ini sejak tahun lalu kerana sudah tiga kali saya mengerjakan umrah sebelum ini. "Saya tidak mahu menunggu lama walaupun beberapa teman yang saya pelawa untuk sama-sama ke sana belum bersedia. "Memandangkan saya berkemampuan dan sihat, mengapa perlu saya bertangguh lagi? Saya bimbang tidak sempat pula jika umur tidak panjang," jelasnya lagi. Rossa memberitahu dia akan berehat seketika daripada aktiviti seninya sehingga Oktober depan untuk memberi tumpuan pada ibadah haji.


