29 Jun – Penyanyi jelita kacukan Melayu-Inggeris yang merupakan bekas ahli kumpulan Elite, Sasha Mohamad Saidin akui membuat permohonan cerai daripada suaminya, Salyo Priyanto Nutosoemarsono selepas dilihat di Mahkamah Syariah Gombak Timur bersama ibunya pada 25 Jun lalu.
Dipetik daripada laporan Kosmo, Sasha yang sebelum ini hanya memberi alasan mempunyai urusan berkaitan hal keluarga mengejutkan pelbagai pihak kerana sebelum ini tidak timbul sebarang kontroversi atau masalah yang melanda rumah tangganya.
"Tujuan saya hadir di mahkamah tersebut adalah kerana ingin membuat permohonan cerai. Saya mengaku yang ketika ini, saya memang mahu bercerai dengan suami saya," ujarnya.
Kakak kepada pelakon Zain Saidin walaubagaimanapun enggan mendedahkan punca masalah rumah tangga mereka sebaliknya ingin berdiam diri sehingga tiba masa yang sesuai.
"Buat masa sekarang, saya membuat keputusan untuk tidak memberi sebarang kenyataan atau menceritakan perkara yang sebenar. Mungkin jika sudah tiba masa yang sesuai, barulah saya akan mendedahkan tentang permasalahan yang berlaku antara kami. Sekarang ini lebih baik saya berdiam diri sahaja terlebih dahulu."
Artis yang baru sahaja tamat penggambaran drama bersiri "Natrah" ini turut memberitahu dia tidak akan mengadakan sidang media untuk menceritakan masalah yang melanda rumah tangga mereka. Malah keputusan untuk bercerai ini turut dibuat bersama dengan suaminya itu.
Sasha, 35, dan Salyo, 37, telah bernikah pada 11 November 2007 dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Adam Aryasenna Notosoemarsono yang kini berusia tiga tahun.
Sebelum ini Sasha pernah berkahwin dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London. Mereka telah bercerai empat tahun kemudian.


