23 Okt – Persembahan sulung kumpulan Soulfly yang mengabungkan pemuzik veteran dari Amerika Syarikat dan Brazil menggegarkan Rockaway Festival 2012 dengan persembahan mereka penuh bertenaga khas buat lebih 5,000 peminat yang membanjiri acara muzik tahunan itu.
Bertempat di Helipad, Sepang International Circuit pada 20 Oktober lalu, sekurang-kurangnya 25 kumpulan muzik telah mengadakan persembahan di Rockaway Festival 2012.
Selain Soulfly, kumpulan punk rock antarabangsa MXPX All Stars dan Set Your Goals dari AS juga mendapat sambutan hangat daripada peminat.
Kumpulan metal core Unearth yang pertama kali membuat persembahan di tanah air juga turut mendapat sambutan hangat daripada peminat.
Diterajui oleh Max Cavalera (gitar/vokal) yang dikenali sebagi pemuzik rock veteran di kalangan peminat rock tempatan sejak zaman kegemilangan kumpulannya sebelum ini, Sepultura, Cavalera berkali-kali meluahkan kegembiraannya dapat menjejakkan kaki di Malaysia buat pertama kalinya sejak Soulfly diformasikan pada tahun 1997.
Selepas mendendangkan setiap lagunya yang rancak dengan elemen-elemen tanah airnya, Brazil, Cavalera tidak jemu bertutur dalam Bahasa Melayu dan sering mengulangi, " Saya cinta kamu, Malaysia!", "Apa khabar, Kuala Lumpur!" dan "Terima kasih!".
Kumpulan-kumpulan tempatan seperti Koffin Kanser, Gerhana Ska Cinta, Hujan, Love Me Butch, Bunkface, OAG serta ramai lagi juga turut memberikan persembahan mantap bertaraf antarabangsa.
Rockaway Festival 2012 telah dibawakan oleh Livescape Asia.


