25 Jun – Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) kini sedang menunggu maklum balas dan e-mel tuntutan daripada Neelofa bagi membantu menyelesaikan pertelingkahan antara Lofa dan Anzalna.
Menurut laporan daripada Harian Metro, Seniman melalui presidennya Zed Zaidi memberitahu bahawa pihaknya sudah mempunyai jalan terbaik untuk menyelesaikan kedua-dua artis itu. "Seperti dimaklumkan sebelum ini, pihak Seniman sudah bertemu dan berbincang dengan Neelofa dan Anzalna. Kami melihat perkara ini secara serius kerana imej artis.
"Namun, apa saja keputusan dan tindakan yang bakal diambil Seniman selepas ini bergantung kepada kerjasama kedua-dua pihak. Kalau Neelofa mahu teruskan tuntutan mahkamah, kami tidak boleh berbuat apa-apa melainkan menjadi pemerhati saja," ujar Zed Zaidi.
Sebelum ini, Neelofa melalui peguamnya telah menghantar notis menuntut Anzalna menjelaskan dan menunjukkan bukti berhubung dakwaan buruk terhadapnya yang disiarkan di akhbar baru-baru ini.
Sementara itu, Zed Zaidi atau nama sebenar Rozaidi Abdul Jamil berkata, pihak Seniman kini sudah merancang untuk bekerjasama dengan Universiti Utara Malaysia bagi mengadakan kursus komunikasi bagi memperbaiki kualiti artis di negara ini.
"Ramai artis hari ini tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan kontroversi secara bijak. Mereka mudah mengeluarkan kenyataan berbaur emosi kepada media hingga dimanipulasi pihak lain."
Zed Zaidi berkata pihak Seniman berharap penyertaan artis-artis tempatan dalam kursus ini mampu mengubah persepsi negatif masyarakat sekaligus meningkatkan imej profesional mereka dalam berdepan isu seperti ini.


