Siapakah cinta hati Maya Karin?

SETELAH dikaitkan dengan aktor Remy Ishak, personaliti jelita, Maya Karin kini heboh dikatakan sedang menjalin hubungan intim dengan Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy.

“Oh itu tidak mungkin berlaku dan karut sama sekali. Darren ialah bos, rakan kerja dan pengurus saya. Hubungan kami tidak lebih dari itu,” kata Maya sambil ketawa.

Maya yang sibuk dengan aktiviti promosi single terbarunya berjudul, ‘Bintang Syurga’, edaran Warner Music Malaysia bakal menghadiahkan sebuah album kepada peminatnya tidak lama lagi. Single tersebut turut dimuatkan di dalam album ketiganya yang masih di dalam proses pembikinan dan menampilkan sentuhan komposer Audi Mok, Omar K dan Darren.   

“Jika tiada aral melintang, saya akan masuk ke studio tidak lama lagi. Insya-Allah, saya harap rakaman untuk album baru ini nanti akan selesai sebelum bulan Ramadhan,” katanya lagi.



Apabila ditanyakan soal hati dan perasaan, Maya yang pernah dinobatkan Aktres Terbaik di Festival Filem  Malaysia ke-21 untuk wataknya dalam filem ‘Anak Halal’ seringkali mengelak. Pernah dikaitkan dengan beberapa aktor dan personaliti lelaki sebelum ini, semua itu hanya gosip yang akhirnya pudar begitu saja.

“Saya seorang yang amat ‘private’. Orang tahu saya tak selesa berbicara tentang hal peribadi apatah lagi soal cinta. Prinsip ini juga saya amalkan di dalam karier. Sebab itu saya jarang bercerita mengenai apa-apa projek sebelum mendapat pengesahan tawaran kerana takut ianya tak menjadi,” kata Maya.

BACA:
Cinta Maya Karin dan Remy Ishak bertaut kembali?

Maya Karin jawab kontroversi 'Ombak Rindu'
Maya Karin gementar beraksi ranjang

Selebriti berdarah kacukan Melayu-Jerman ini turut mengakui yang dia kini sudah bersedia untuk menerima cinta seorang lelaki buat kesekian kalinya.

“Sejujurnya saya tidak berkesempatan untuk menjalin cinta sejak berpisah dengan bekas suami saya lebih tiga tahun lalu kerana terlalu komited dengan kerja,” akui Maya.

Setelah diasak mengenai buah hati terbaru, Maya ketawa sambil berkata, “Saya tidak mahu beria-ia mengatakan hubungan yang baru terjalin ini sudah ke tahap serius. Cinta kami baru saja berputik. Cukup jika saya katakan yang jejaka ini berada di luar negara dan saya senang dengan kebijaksanaan dan sikapnya yang matang.”

Tambah Maya, perhubungan jarak jauh yang kini terjalin itu lebih memudahkan dirinya untuk lebih fokus terhadap kerjaya seni.

“Tambahan pula saya tidak perlu risau untuk memenuhi permintaan temujanji dengan si dia kerana kami hanya mampu berhubung melalui telefon disebabkan kami saling berjauhan,” ujarnya.

Menurut Maya, beliau cukup selesa hidup bersendirian sebelum ini kerana bebas untuk mengenali dirinya yang sebenar.

“Saya tidak terikat dengan sesiapa dan bebas melakukan apa saja. Namun begitu, saya bersyukur ditemukan dengan si dia. Cuma belum masanya lagi untuk saya membuat apa-apa pengumuman pada masa ini,” tambah Maya mengakhiri perbualan.