Siti Nurhaliza tegur Khairy Jamaluddin hormat orang

Siti Nurhaliza tegur Khairy Jamaluddin hormat orang

13 Nov – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza menegur tindakan Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara terbuka agar menghormati mereka yang lebih berusia.

Teguran tersebut dibuat menerusi akaun Twitter miliknya, @CTNurhaliza11 selepas dia membaca kenyataan Khairy Jamaluddin di sebuah akhbar tempatan yang membidas bekas kapten skuad kebangsaan, Datuk Jamal Nasir agar tidak masuk campur dalam kemelut menteri itu dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Teguran saya itu dibuat secara ikhlas tanpa ada kepentingan apa-apa.

"Apabila saya membaca kenyataan beliau dalam akhbar, sebagai orang biasa, saya terpanggil untuk membuat teguran," ujarnya seperti dipetik daripada laporan Kosmo!.

Penyanyi berusia 34 tahun ini yang merupakan penyokong pasukan bola sepak Pahang bagaimanapun memberitahu teguran yang diberikan itu ikhlas dan tidak mahu ia menjadi kontroversi hanya disebabkan dia bergelar selebriti.

Semalam, Siti Nurhaliza telah mengkritik Khairy Jamaluddin di Twitter dengan berkata, "Sebagai menteri muda & being look up (dipandang tinggi), rasanya @Khairykj perlu menggunakan pendekatan yang lebih berhemah. Lantang tak perlu biadap dengan yang lebih tua."

Khairy Jamaluddin, 37, yang baru sahaja memenangi kategori Wired Celebrity Award di Shout! Awards Sabtu lalu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut.

Kemelut antara menteri ini dan FAM tercetus apabila dia mengkritik badan induk bola sepak negara berhubung isu jualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia dan juga teguran terhadap Jawatankuasa Keselamatan FAM berikutan penemuan pistol di Stadium Shah Alam pada 3 November lalu.

Khairy Jamaluddin kemudiannya bersetuju untuk bersemuka dengan FAM bagi menyelesaikan kemelut antara kedua-dua pihak.