13 Ogos - Sukan Olimpik 2012 yang berlangsung di London, United Kingdom sudahpun berakhir dengan negara Amerika Syarikat telah berjaya menaiki tangga teratas setelah mengutip sebanyak 46 pingat emas.
Selepas majlis pembukaan Sukan Olimpik dikatakan adalah yang terbaik, acara penutup Sukan Olimpik tidak kurang hebatnya dengan ramai artis UK membuat persembahan memukau puluhan ribu penonton yang hadir, menurut DailyMail.
Persembahan dimulakan dengan kemunculan Eric Idle, seorang bintang filem "Monty Python", yang kemudiannya diikuti dengan kumpulan ikon Queen serta Jessie J.
Kumpulan Spice Girls yang pernah menjadi kegilaan ramai pada zaman 90-an juga kembali bersatu dengan menyanyikan lagu "Wannabe" dan "Spice Up Your Life", yang sememangnya tidak mengecewakan penonton.
Gary Barlow, Mark Owen, Jason Orange dan Howard Donald turut tidak terkecuali daripada bergabung semula apabila kumpulan Take That membawakan lagu "Rule The World".
Majlis bertambah meriah apabila penyanyi George Michael membuat persembahan dengan menyanyikan lagu popularnya, "Faith", dan "Freedom" serta "White Light", yang merupakan single terbarunya.
Kontroversi mula tercetus apabila supermodel Kate Moss dan Naomi Campbell membuat aksi 'catwalk'di atas pentas yang membuahkan rasa tidak puas hati penonton disebabkan reputasi mereka yang tidak baik.
Berikutan itu, Naomi telah dikutuk di laman sosial Twitter yang menyindirnya dengan menulis, "Naomi Campbell: pingat emas bagi membaling telefon bimbit," merujuk kepada kes lama yang membabitkan serangan Naomi terhadap pembantu peribadinya.
Namun, majlis tetap meriah dengan kehadiran Russel Brand yang nampaknya mendapat inspirasi dari Willy Wonka dengan berpakaian seperti watak cerita tersebut yang ditulis Roald Dahl. Pelakon dan pelawak itu menyanyikan lagu The Beatles "I am the Walrus" dengan versi beliau sendiri.
Antara artis-artis jemputan lain yang berjaya menghiburkan hati penonton adalah Pet Shop Boys, Annie Lennox, Kaiser Chiefs, dan Ed Sheeran.


