Teater 'Parah': Kritikan pedas kepada 'Interlok'

Teater 'Parah' yang dipentaskan di KLPAC itu penuh dengan penonton pada setiap pementasan sehingga ianya terpaksa dilanjutkan sehari.

PARAH atau PARIAH, dua tajuk tetapi berbeza lokasi pementasannya. Tajuk Parah digunakan sewaktu naskhah itu dipentaskan di Kuala Lumpur, manakala Pariah adalah tajuk yang diberikan kepada pementasan yang lebih kurang sama yang dipentaskan di Drama Centre Black Box, Singapura pada 23-25 Jun 2011.

Parah dilihat cuba mengkritik tujuan Kementerian Pelajaran Malaysia yang cuba menanamkan isu perkauman di kalangan pelajar-pelajar sekolah dengan mewajibkan pelajar-pelajar tingkatan lima untuk membaca novel Interlok yang ditulis oleh sasterawan negara, Abdullah Hussain.
 
Penulis skrip ini mempersoalkan edisi berbeza Interlok yang digunapakai di dalam teks pembelajaran dengan novel yang kononnya meletakkan kaum India di Malaysia sebagai kaum hina manakala kaum Cina sebagai pembolot hasil ekonomi negara.
 
Teater yang dipentaskan di KLPAC Kuala Lumpur pada 1-5 Februari 2012 itu penuh dengan penonton pada setiap pementasan sehingga ianya terpaksa dilanjutkan sehari.

Memetik ilham daripada filem terakhir Yasmin Ahmad, 'Talentime', serta novel Interlok karya Abdullah Hussain, 'Parah' adalah sesuatu penerokaan bagaimana isu jati diri dipertandingkan dalam sebuah negara majmuk yang masih muda. Lucu, mencabar dan menyentuh hati, 'Parah' bertanya soalan-soalan mendesak tentang kasih sayang, tempat tinggal dan kekitaan.

PARAH mengisahkan persahabatan Melur, Hafiz, Mahesh dan Kahoe yang merupakan pelajar Tingkatan Lima di Kuala Lumpur. Sebagai rakan karib, mereka sentiasa berada di rumah Melur, melepak, saling usik-mengusik dan kadang-kadang belajar. Apabila empat sekawan ini bersama-sama, mereka benar-benar kelihatan seperti mewakili golongan kanak-kanak di kanvas poster 1Malaysia.
 
Satu hari semasa sesi kajian pelajaran mereka, Melur mendapati bahawa sehelai mukasurat dari novel sastera yang dimiliki oleh ibunya, seorang guru sekolah, telah koyak. Menyangka bahawa ianya satu gurauan nakal oleh salah seorang daripada rakan-rakannya, dia menyoal mereka tentang hal itu, tetapi mereka semua menafikannya. Walaupun begitu, Melur merasakan bahawa salah seorang daripada
mereka pasti puncanya.

Apabila Melur menyiasat lebih lanjut, rakan-rakannya mula tertanya-tanya tentang kandungan mukasurat yang terkoyak daripada buku yang bertajuk ʻInterlokʼ itu. Pelbagai persoalan mula timbul dalam fikiran mereka. Soalan-soalan tentang sejarah kolektif mereka dan identiti peribadi dibangkitkan. Soalan-soalan yang tidak mampu dijawab oleh Mahesh, Hafiz, Melur dan Kahoe.



Tidak dinafikan kekuatan utama Parah terletak pada naskhah, persembahan lakonan dan garapan pengarah yang bijak mengadun naskhah tersebut agar tidak kelihatan seperti khutbah yang panjang. Sebaliknya Parah menjentik pemikiran penonton untuk bertanya pada diri sendiri “adakah ini yang perlu kita lalui setiap hari untuk meneruskan hidup dalam sebuah negara majmuk?”.

Menggunakan latar sebuah kelas, Parah mengandaikan kelas itu seperti sebuah negara yang makmur pada awalnya sebelum diuji cabaran berdepan dengan satu isu yang melibatkan perkauman. Bagaimana sebuah kelas yang dulunya aman tanpa gangguan, kini bertukar kacau apabila anak murid yang belajar di dalam kelas tersebut dijentik dengan perkataan “pariah”.

Anak-anak belasan tahun yang masih boleh dianggap suci telah dicemarkan oleh keputusan kerajaan mewajibkan novel tersebut. Maka terserlah sifat-sifat dalaman yang selama ini tersimpan (mungkin mereka belajar dari rumah menerusi sifat ibu dan bapa mereka).

Mahesh, pelajar bangsa India mula bersuara. Kahoe, mewakili bangsa Cina hanya mengambil langkah selamat dengan berdiam diri dan meneruskan impiannya untuk menjadi pemain badminton terkenal. Hafiz, mewakili Melayu mula merasa tidak selamat dan mula meniupkan semangat berbeza berbanding rakan-rakannya yang lain. Manakala, satu-satunya watak perempuan, Melur menjadi penyelamat yang berfikiran lebih terbuka dalam menangani isu tersebut.

Terdetik di fikiran penulis, adakah secara kebetulan watak penyelamat seorang wanita, atau pun sememangnya lelaki punca segala masalah yang berlaku di negara ini? Paling penulis kagumi bagaimana isu tersebut telah merubah keamanan kelas tersebut. Penghayatan lakonan setiap pelakon menjadi Parah sebuah pengembaraan menaiki roller-coaster yang cukup sifatnya. Penulis terpanggil untuk merasai sifat “insecure” pada Hafiz, terjelmanya semangat “hero” pada Melur, kesakitan yang dirasai oleh Mahesh dan bagaimana “selfish”nya Kahoe.
 
PARAH juga menceritakan kronologi sebenar ketidakselesaan kaum India yang menemui kemuncaknya pada 6 Januari 2011 apabila kumpulan HINDRAF (gerakan yang memperjuangkan nasib kaum India di Malaysia) berhimpun secara aman mendesak novel Interlok digugurkan daripada menjadi teks wajib di persekolahan. Alasan yang diberikan oleh HINDRAF ialah tidak sesuai kerana kandungannya yang secara jelas membangkitkan isu perkauman yang boleh membawa kepada rusuhan kaum di negara ini yang berbilang bangsa.

Skrip yang ditulis oleh Alfian Saat juga menjelaskan politik yang dimainkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Pelajaran yang pada asalnya tunduk kepada desakan Hindraf tetapi kemudiannya meneruskan hasrat menjadikan Interlok sebagai teks wajib di sekolah menengah dengan menanggalkan perkataan “pariah” di dalam novel edisi pelajar.

Melihat kepada pencapaian penulisnya, Alfian Sa’at, pernah memenangi beberapa anugerah kesusasteraan. Alfian Sa’at ialah pengarang drama tetap dengan syarikat teater yang sering diiktiraf, W!LD RICE di Singapura. Di antara karya-karya yang diterbitkannya termasuk dua koleksi puisi ‘One Fierce Hour’ dan ‘A History of Amnesia’, koleksi cerpen ‘Koridor’ serta dua koleksi drama.

Alfian pernah dicalonkan sebanyak enam kali untuk Skrip Terbaik anjuran Anugerah Teater Life! di Singapura. Beliau memenangi anugerah tersebut pada tahun 2005 bagi naskah ‘Landmarks’ dan kemudian pada tahun 2010 bagi naskah ‘Nadirah’ arahan Jo Kukathas.



Naskah-naskah drama beliau telah diterjemahkan kepada bahasa Jerman dan Sweden dan telah dibaca dan dipentaskan di Singapura, Kuala Lumpur, London, Zurich, Hamburg, Berlin dan Stockholm.
 
PARAH dipersembahkan dalam Bahasa Malaysia dengan sarikata Bahasa Inggeris ini diarahkan oleh Jo Kukhatas. Beliau sebelum ini juga pernah menimbulkan kontroversi melalui pengarahannya melalui Elections Day (1999) dan Air Con (2008).
 
PARAH
dijayakan oleh pelakon-pelakon Iedil Putra sebagai Hafiz, Farah Rani sebagai Melur, Gregory Sze sebagai Kahoe dan Bravanan Aruljothi sebagai Mahesh. Pementasan ini di bawah terbitan Instant Café Theatre.

Melalui kejayaan pementasan ini juga, Instant Café Theatre menganjurkan PARAH PARALLELS PROJECT di bawah pengarahan Amsalan Doraisingam. PARAH PARALLELS PROJECT, adalah inisiatif mampan bilik darjah yang menggunakan skrip dan pengeluaran PARAH untuk meningkatkan pertukaran kreatif dan pemikiran kritikal di kalangan pelajar-pelajar kolej di Malaysia. Projek jangka panjang ini terdiri daripada siri perbincangan di talian Internet, dan bengkel yang dipandu pemudah cara untuk menggalakkan pelajar-pelajar kolej mengukuhkan proses pemikiran kritikal mereka secara kreatif, dan membolehkan mereka mempelajari, memahami dan yakin diri menyuarakan pelbagai pendapat dengan teliti.