Setiap drama televisyen bermula dengan episod pengenalan, atau pilot episode. Jika mendapat sambutan positif, stesen penyiaran akan mengambilnya sebagai satu siri penuh. Jika ia mendapat sambutan yang baik, ia akan ditawarkan untuk musim kedua dan seterusnya. Tapi jika siri tersebut tidak mendapat kedudukan yang baik dalam peratusan penyiaran, siri tersebut akan dibatalkan oleh pihak penyiaran. Namun begitu, jika anda produksi yang bernasib baik, anda akan memiliki para peminat tegar yang akan mempertahankan anda sehingga anda berjaya selamat ke satu musim lagi.
Begitu jugalah dengan siri-siri berikut:
FAMILY GUY (1999 - 2002, 2005 - kini)
Berbeza dengan kebanyakan siri televisyen, "Family Guy" merupakan siri animasi pertama yang dihidupkan kembali selepas bertahun-tahun dibatalkan olh penyiarnya, Fox. Sekalipun ia dibatalkan pada tahun 2002 kerana rating yang rendah, Fox tetap membeli satu lagi musim siri ini. Namun begitu, selepas pembatalannya, ia mula ditayangkan di saluran lain seperti Cartoon Network sehingga mendapat perhatian penonton. Akhirnya, Fox meminta penciptanya, Seth McFarlane untuk menghasilkan semula kisah keluarga Griffin ini. Kini "Family Guy" kembali dengan enam musim lagi, filem dan juga spin-off.
FELICITY (1998 - 2002)
J.J. Abrams mungkin berjaya dengan "Lost", tetapi dia tidak begitu bernasib baik dengan kisah gadis California ke New York ini. Selepas rating menurun untuk musim kedua, penyiarnya The WB Television Network memutuskan untuk membatalkan siri ini. Mendengar keputusan ini, para peminat siri "Felicity" telah muncul di depan stesen televisyen tersebut untuk membuat bantahan. Malah, para pelakonnya, termasuk Keri Russell turut muncul memberikan sokongan. Selepas kempen besar-besaran, The WB bersetuju untuk meneruskan siri tersebut dan ia berjaya hidup dengan dua musim lagi.
ROSWELL (1999 - 2002)
Sebelum cinta pontianak menjadi kegilaan di Amerika, kisah cinta makhluk asing bernama Max Evans dan Liz Parker terlebih dahulu menjadi kegilaan ramai. Namun begitu, penyiarnya The WB tidak puas hati dengan rating siri tersebut dan berura-ura untuk membatalkannya. Para peminat "Roswell" membantah dengan melancarkan kempen besar-besaran di mana mereka menghantar berbotol-botol sos Tabasco ke rangkaian TV tersebut. Ia dikembalikan untuk musim kedua dan ketiga sebelum dibatalkan kembali.
CHUCK (2007 - kini)
Kisah komedi tentang pengintip tidak sengaja bernama Chuck lakonan Zachary Levi ini mengalami masalah apabila musim keduanya tidak berjaya menarik perhatian ramai seperti di musim pertama. Ketika NBC sedang memikirkan sama ada mahu membatalkannya atau tidak, para peminat "Chuck" telah melancarkan kempen selama dua bulan untuk terus mengekalkan siri kegemaran mereka. Selain daripada kempen melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter, para peminat juga menderma wang atas nama NBC ke Pertubuhan Jantung America (AHA) melalui kempen mereka yang dinamakan "Have a Heart, Renew Chuck". Dengan itu, NBC membuat keputusan untuk terus menyiarkan "Chuck" untuk musim seterusnya dan terus bertahan sehingga kini.
FUTURAMA (1999 - 2003, 2008 - kini)
Matt Groening mungkin berjaya dengan "The Simpsons", namun dia tidak begitu berjaya dengan "Futurama" apabila Fox membatalkannya pada tahun 2003. Para peminat yang merasa kecewa dengan keputusan itu mula membeli siri tersebut dalam bentuk DVD. Namun begitu, stesen Comedy Central telah menyiarkan siri tersebut pada tahun 2006 dan membolehkan "Futurama" difilemkan selepas itu. Tidak lama kemudian, para peminat mula menulis kepada Fox. Maka Fox dan Comedy Central berbincang dengan penciptanya dan ia kembali bersiaran empat tahun selepas dibatalkan.
ARRESTED DEVELOPMENT (2003 - 2006)
Pada musim pertama, "Arrested Development" merupakan sebuah siri yang mendapat tempat bukan sahaja di hati peminat, malah menerima pujian menggunung daripada para pengkritik televisyen. Namun begitu, kisah komedi keluarga Bluth yang berantakan akibat skandal ahli-ahlinya ini mendapati rating mereka menurun di musim keduanya. Malah episodnya dikurangkan daripada 22 kepada 18. Dalam usaha untuk menyelamatkan siri ini, penerbitnya, Ron Howard (yang juga bertindak selaku pencerita dalam siri ini) turut meminta para peminat untuk menyelamatkan "Arrested Development". Para peminat merayu agar siri ini diteruskan, malah menghantar beberapa peti pisang ke pejabat Fox. Mengapa pisang? Ini kerana satu daripada perniagaan keluarga Bluth ialah gerai Frozen Banana. Fox bersetuju untuk membeli musim ketiga, tapi dengan hanya 13 episod. Namun begitu, kebanyakan para pelakon asalnya, Jason Bateman, Michael Cera, Will Arnett, Portia de Rossi dan lain-lain tetap berjaya dalam projek mereka yang lain dan ingin kembali untuk versi filemnya.
JERICHO (2006 - 2008)
Apabila CBS membatalkan kisah tentang kehidupan penduduk Jericho selepas satu serangan nuklear, para peminat "Jericho" tidak berpuas hati lalu mereka melancarkan kempen besar-besaran di mana mereka menghantar 20 tan kacang kepada para eksekutif rangkaian tersebut supaya mengembalikannya. CBS membuat keputusan untuk membeli musim kedua namun rating terus menjunam. Apabila para peminat mengadakan kempen yang sama untuk musim ketiga, CBS membuat keputusan untuk tidak mendengar permintaan mereka.


