5 Jul – Bekas penyanyi kumpulan Shades, Mohamad Faizal Mohd Ali atau lebih popular dengan nama Wan Shades nekad meneruskan niatnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah blog hiburan yang didakwa memfitnahnya sebagai suspek kes rogol anak tiri.
Dipetik daripada laporan mStar, tindakannya itu bukanlah untuk mencari populariti sebaliknya untuk memberi pengajaran kepada semua blog hiburan agar lebih beretika ketika menulis.
"Saya meneruskan tindakan membawa kes ini ke mahkamah kerana ingin memberi pengaran kepada semua blogger di Malaysia yang adakalanya terlupa bahawa mereka bukanlah wartawan bertauliah dan tidak mempedulikan etika dalam penulisan.
"Saman ini adalah untuk memberitahu mereka walaupun berada dalam medium media bebas, ia tidak bermakna mereka boleh menulis secara membuta-tuli sehingga mengaibkan banyak pihak," ujarnya.
Penyanyi yang popular dengan lagu "Jangan Kau Ucap Selamat Tinggal" ketika bersama Shades mengakui artikel "Wan Shades Suspek Utama Penyanyi Kumpulan R&B Rogol Anak Tiri Selama Tujuh Tahun" yang disiarkan oleh blog tersebut pada 20 Februari lalu telah mencemarkan namanya sebagai seorang selebriti dan kedudukannya sebagai Naib Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayung Daerah Gombak serta Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga Gombak Setia.
Sebelum ini Wan telah bertemu dengan pemilik blog berkenaan dalam sebuah rakaman program "Awal Lagi" untuk siaran TV9.
"Pemilik blog telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan saya menerimanya dengan ikhlas. Sebelum ini saya telah memberi tempoh tujuh hari untuk mereka membuat permohonan maaf tetapi mereka tiada inisiatif untuk berbuat demikian. Namun saya tetap maafkan."
Tambahnya lagi, sebagai seorang Islam haruslah menerima dan memaafkan kesalahan seseorang tetap daripada segi kerja, dia perlu meneruskan saman kepada pihak tersebut.
Wan juga menyatakan kekecewaannya apabila pihak tersebut tidak mengambil serius dengan perkara yang berlaku sebaliknya permohonan maaf tersebut hanyalah berlaku di hadapan kamera.
"Saya tidak mengambi tindakan ini semata-mata mahu meraih populariti atau publisiti selepas bertahun-tahun menyepikan diri dari dunia hiburan. Tidak perlu rasanya saya melakukan sebegitu kerana saya yakin nama saya masih dikenali peminat muzik tempatan.
"Tidak perlu buat gimik seperti ini, banyak lagi benda boleh dibuat," ujar Wan yang kini dalam proses menghasilkan single solo pertamanya sebelum album baru menyusul tidak lama lagi.


