Tidak cukup dengan hanya sebuah filem, Sylvester Stallone kembali sekali lagi dengan sekuel kepada filem THE EXPENDABLES. Kali ini, dia cuba mengumpul aktor-aktor sebanyak yang mungkin dan antara yang terbaik dalam filem-filem aksi termasuk pelakon aksi pujaan ramai, Chuck Norris.
Jika Stallone mahu mereka ini muncul dalam filem terbarunya ini, pasti mereka ini antara yang terhebat, kan? Mari kita ukur tahap kehebatan mereka!
Sylvester Stallone sebagai Barney Ross
Betapa hebatnya Stallone? Ketika Stallone masih menuntut di sekolah menengah, dia menerima undian paling tinggi sebagai "Pelajar yang akan Mengakhiri Hidupnya di Kerusi Elektrik". Pada usianya 60 tahun, dia membawakan watak peninju Rocky Balboa melalui "Rocky VI". Stallone juga merupakan pencipta dan penerbit siri realiti tentang peninju, "The Contender". Dia menghasilkan filem ini dan mengumpul semua bintang aksi terhebat Hollywood.
**Tahap kehebatan: 5 batang cigar
Jason Statham sebagai Lee Christmas
Statham memiliki kemahiran dalam seni mempertahankan diri, terutamanya dalam tinju dan Jujitsu. Sebelum menjadi pelakon, Jason pernah menjadi pencuri jalanan dan antara barang yang dicurinya termasuk barang kemas dan minyak wangi tiruan. Pada Ogos 2008, dia telah diusir keluar dari Parti Tahunan Midsummer Night's Dream di Rumah Agam Playboy oleh pihak sekuriti kerana enggan bergambar dengan model. Lelaki yang tidak mahu bergambar dengan model? Tentu sekali sungguh hebat!
**Tahap kehebatan: 4 batang cigar
Jet Li sebagai Yin Yang
Jet Li telah memenangi kejuaraan kebangsaan Cina dalam seni akrobatik Wushu ketika dia berusia 11 tahun. Hadiah kemenangannya merupakan pertemuan istimewa dengan Presiden Richard Nixon dan membuat persembahan di depan presiden dan Setiausaha dalam Negeri, Henry Kissinger. Jet Li juga menolak tawaran berlakon dalam filem pemenang anugerah Academy, "Crouching Tiger, Hidden Dragon" kerana ingin bersama isterinya yang sedang hamil. Anugerah suami cemerlang!
**Tahap kehebatan: 4 batang cigar
Dolph Lundgren sebagai Gunnar Jensen
Pada usia 15 tahun, Dolph Lundgren hanyalah remaja biasa yang dianggap mudah untuk dibuli, sehinggalah dia menjadi pakar dalam Kyokushin Karate. Ketika sedang melakonkan satu babak dalam filem "Rocky IV", dia telah menumbuk dada Stallone dan menyebabkan Stallone terpaksa dibawa ke hospital akibat sakit dada. Dolph Lundgren juga boleh bercakap dalam lima bahasa dan memiliki I.Q. setinggi 160 dan merupakan seorang graduan kejuruteraan kimia. Si genius penyebab lebam di dada Stallone!
**Tahap kehebatan: 4.5 batang cigar
Chuck Norris sebagai Booker
Sebelum menjadi pelakon, Chuck Norris pernah mengajar seni mempertahankan diri. Dia mengasaskan dua ilmu mempertahankan diri iaitu Chun Kuk Do dan Tang Soo Do. Dia juga pengasas Kongres Tang Soo Do Kebangsaan (NTC) dan Persekutuan Seni Tempur Bersatu (UFAF). Namun kuasa terhebat Norris adalah sebagai artis yang paling banyak dijadikan meme internet!
**Tahap kehebatan: 5 batang cigar
Jean-Claude Van Damme sebagai Jean Vilain
JCVD mengalami gangguan bipolar. Dia juga menjadi inspirasi watak Johnny Cage dalam permainan arked dan konsol "Mortal Kombat". Dia juga pernah disaman pada tahun 1989 kerana mengorek mata pelakon ekstra dalam satu babak lawan pedang dalam filem "Cyborg". Namun Van Damne paling hebat kerana pernah belajar ballet selama lima tahun. Ganas dan berseni dalam masa yang sama!
**Tahap kehebatan: 3.5 batang cigar
Bruce Willis sebagai Mr. Church
Watak lakonannya sebagai John McClane dalam trilogi filem "Die Hard" disenaraikan di tempat ke-46 Karakter Filem Terbaik Sepanjang Masa oleh majalah Premiere. Dia juga pernah mencampakkan air ke arah paparazzi kerana mengambil gambarnya. Willis juga merupakan antara artis Hollywood yang menyokong Perang Iraq. Menyokong perang yang dianggap tidak bermakna oleh semua orang? Memang berani!
**Tahap kehebatan: 3 batang cigar
Arnold Schwarzenegger sebagai Trent Mauser
Arnold mendapat gelaran "The Most Perfectly Developed Man in the History of the World" oleh Guinness Book of Record. Dia juga pernah menjadi Gabenor California. Dia juga pernah menjadi satu-satunya pelakon yang menerima pencalonan Razzie untuk kategori Pelakon Paling Teruk, Pelakon Pembantu Paling Teruk dan Pasangan Filem Paling Teruk sekaligus melalui filem "The 6th Day". Kekuatan mental yang jitu menerima kritikan. Memang terbaik!
**Tahap kehebatan: 3.5 batang cigar
Terry Crews sebagai Hale Caesar
Terry pernah bermain dalam Liga Football Kebangsaan (NFL) selama enam musim bersama Green Bay Packers, San Diego Chargers, Philadelphia Eagles dan Washington Redskins. Namun dia paling diingati sebagai pemain bola keranjang Latrell Spencer yang jatuh cinta pada penyamaran Marcus Copeland (lakonan Marlon Wayans) dalam "White Chicks". Si badan sasa yang tidak takut mengambil watak bodoh? Hebat sekali!
**Tahap kehebatan: 2 batang cigar
Randy Couture sebagai Toll Road
Randy mula bergusti pada usia 10 tahun. Dia dikenali dengan teknik 'ground and pound' dalam seni mempertahankan diri campuran iaitu dengan menjatuhkan lawan, menghempap lawan tersebut dan menumbuk lawan dengan pukulan demi pukulan. Dia diberi gelaran "Ahli Gusti Terunggul" pada tahun 1990 dan memenangi pingat emas di 'Pan American Games' di Havana, Cuba pada tahun 1991. Ganas dan tidak berbelas kasihan!
**Tahap kehebatan: 4 batang cigar
Scott Adkins sebagai Hector
Ketika dia masih kecil, Scott telah membuat satu tokong keramat peminat buat pelakon Bruce Lee di garaj rumah keluarganya. Scott juga pernah menjadi ahli pasukan lagak ngeri Jackie Chan. Lelaki yang memuja dua bintang aksi Hong Kong terkemuka Hollywood pastinya seorang yang unggul!
**Tahap kehebatan: 3 batang cigar
Liam Hemsworth sebagai Bill 'the Kid' Timmons
Dia Gale dalam "The Hunger Games". Dia juga ditawarkan peranan sebagai dewa mitologi Norse, "Thor" tetapi memberikannya kepada si abang, Chris Hemsworth. Kehebatannya? Menjadi lelaki yang tidak meninggalkan Miley Cyrus!
**Tahap kehebatan: 2 batang cigar


