4 Jul – Penyanyi dan penulis lagu Yunalis Zarai atau lebih dikenali sebagai Yuna sekali lagi membanggakan Malaysia apabila beliau telah diberi peluang merakamkan lagu 'Here Comes The Sun' nyanyian asal The Beatles untuk filem "Savages".
Dipetik daripada Berita Harian, minggu lalu, penyanyi berusia 25 tahun itu telah menghadiri majlis karpet merah tayangan perdana filem "Savages" yang dibintangi oleh pelakon hebat Hollywood seperti John Travolta dan Salma Hayek di Westwood Village, Los Angeles.
Beliau juga berpeluang untuk berjumpa dengan Oliver Stone, selaku pengarah filem tersebut dan telah diberi peluang merakamkan lagu "Here Comes The Sun."
"Ketika diberi peluang merakamkan lagu "Here Comes The Sun", rasa sangat teruja kerana Oliver Stone bukan calang-calang pengarah. Apabila kami tahu dia sangat suka, kami sangat gembira kerana bekerja keras untuk rakam lagu itu," katanya.
Yuna tidak mampu menyembunyikan rasa gembiranya di Twitter dengan menulis, "Saya berjaya melakukannya! Berjalan di karpet merah dan tidak pengsan."
Namun begitu, Yuna terpaksa pulang awal dari majlis karpet merah kerana perlu membuat persembahan dengan kumpulan Graffiti6. Hal ini menyebabkannya tidak berpeluang untuk berjumpa dengan semua barisan pelakon filem "Savages".


