12 Apr - Festival muzik Lollapalooza merupakan satu acara muzik tahunan yang dianjurkan sejak tahun 1991 di Amerika Syarikat dan selalunya menampilkan artis-artis hebat dari pelbagai genre. Sekarang pula artis tanah air Yuna bakal membuat persembahan di sana.
Menurut laporan yang dipetik dari Rotikaya, artis Malaysia yang bakal membuat persembahan pertamanya di festival pada Ogos 2012 bertempat di Grand Park, Chicago tersebut adalah tak lain tak bukan Yuna.
Yuna yang kini sedang mengukir namanya di Amerika Syarikat telah memaklumkan di dalam laman Twitter rasmi beliau mengenai penglibatannya di festival tersebut. Tambahnya lagi beliau bakal membuat persembahan di pentas kecil sahaja.
Walau bagaimanapun, dengan barisan artis-artis seperti Red Hot Chili Peppers, Jack White, The Shins dan ramai lagi, pencapaian Yuna di persada muzik antarabangsa sememangnya patut dibanggakan oleh rakyat Malaysia. Malah, ini juga membuka peluang untuk artis-artis Malaysia yang lain untuk mengecapi yang sama.
Festival Lollapalooza 2012 bakal berlangsung pada 3 hingga 5 Ogos 2012. Walau bagaimanapun, melalui semakan di laman web Lollapalooza, jadual persembahan Yuna masih belum dikeluarkan.


