5 Jul – Pelakon, Zahiril Adzim tertarik menerima tawaran berlakon di dalam drama terbitan Astro berjudul "Mana Hilangnya Juwita" kerana jalan cerita yang berkisar tentang seorang wanita.
Ditanyakan mengenai watak beliau, Zahiril memegang watak sebagai Haider, iaitu bekas teman lelaki bagi watak utama Anggun yang dipegang oleh aktres terbaik Filem Festival Malaysia tahun 2010 Lisa Surihani. Walaupun sudah berpisah, Haider tetap menolong Anggun yang sedang berikhtiar mencari adiknya Juwita yang sudah lama tidak dapat dihubungi.
Pelakon filem "KAMI" ini memberitahu bahawa beliau meminati tema drama yang dianggap agak berat baginya kerana berkait rapat dengan kisah penculikan dan kehilangan yang sering berlaku dalam masyarakat. Beliau turut membuahkan rasa bimbangnya terhadap situasi wanita yang selalu menjadi mangsa kes berkenaan. "Saya merasakan bahawa drama ini amat bermakna kerana saya juga mempunyai wanita dalam hidup saya seperti ibu saya, isteri saya, nenek dan ramai lagi," ujarnya.
Sambung beliau lagi, "Dalam drama ini, anda dapat melihat bahawa kehilangan seorang wanita akan mempengaruhi ramai orang, seperti Anggun, iaitu kakak Juwita, bekas kekasih Anggun (Haider) dan kawan-kawannya."
Menyedari kepentingan seseorang wanita dalam hidup, Zahiril berharap agar drama bersiri ini boleh memberikan pedoman kepada penonton dan bukan hanya dianggap sebagai hiburan biasa.
"Pelbagai masalah yang menimpa Juwita dan kakaknya yang sedang mencarinya, dan saya ingin menegaskan melalui drama ini bahawa kita harus memastikan bahawa seorang wanita di negara ini boleh merasa selamat. Dia boleh berjalan-jalan tanpa perlu takut diserang."
Penggambaran "Mana Hilangnya Juwita" yang terbahagi kepada 15 episod telah bermula sejak akhir bulan Mei dan akan berterusan sehingga bulan Ramadhan akan datang.


