'Akademi Fantasia' Musim ke-10 kembali bulan September


MASIH ingat nama-nama ini: Hafiz, Vince Chong, Mawi, Stacy, Aizat, Marsha dan Hazama? Mereka ini merupakan produk bintang muda program realiti TV popular, ‘Akademi Fantasia’ sejak tahun 2003 sehingga ia melabuhkan tirai pada musim ke-sembilan dua tahun lalu.

Penantian peminat rancangan tersebut akan berakhir tidak lama lagi.

Selepas setia menemui penonton selama sembilan musim, rancangan  terbitan Astro Ria itu bakal menemui peminat dengan ‘wajah baru’ pada bulan September.

'Akademi Fantasia 2013' (AF2013) akan bermula dengan penjelajahan di lima buah seluruh negara iaitu Johor, Pulau Pinang, Sarawak, Sabah dan Selangor sepanjang bulan Jun untuk sesi uji bakat mencari bintang baru.

Menurut Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh jenama AF dilihat sebagai satu platform dominan yang membekalkan pelapis-pelapis seni tanah air kepada industri hiburan negara.

Antara nama-nama yang masih relevan dan masih segar meniti di bibir peminat (seperti Aizat, Stacy, Aril dan sebagainya) sudah berjaya bertapak dan mencipta nama di dalam setiap aspek seni yang diceburi. Ini termasuk bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan.

Musim ini beberapa pembaharuan akan diperkenalkan untuk memantapkan lagi kualiti pengisian program agar tersu segar dan menepati citarasa penonton.

Peserta boleh memilih untuk bertanding secara solo atau berpasangan. Selain itu, calon peserta juga masih boleh memilih untuk menghantarkan klip video penyertaan secara online di laman sesawang rasmi.

Program Akademi Fantasi 2013 ini dijadualkan untuk mula bersiaran di saluran rasmi Astro Ria (104) pada bulan September kelak.

Bagi anda yang mempunyai bakat terpendam serta mempunyai keinginan untuk menjadi bintang, boleh hadir di ujibakat berikut:

NEGERI

TEMPAT

TARIKH

Johor

Hotel The Zon, Johor Bahru

1 & 2 Jun 2013

Pulau Pinang

Hotel Vistana, Pulau Pinang

8 & 9 Jun 2013

Sarawak 

Hotel Merdeka Palace, Kuching

15 & 16 Jun 2013

Sabah

Hotel Promenade, Kota Kinabalu

22 & 23 Jun 2013

Selangor  

Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam

29 & 30 Jun 2013


Pengacara baru?


Persoalannya sekarang siapa bakal pengacara Akademi Fantasia 2013 kali ini? Mungkinkah pengacara sensasi, Aznil Nawawi akan kembali memeriahkan rancangan musim ini?

Dan peminat juga pasti tertanya-tanya siapa tenaga pengajar yang akan ditampilkan musim ini? Adakah ‘Cikgu Fatimah Abu Bakar, ‘Cikgu Adnan Hassan’, Ibu Fauziah Nawi dan Cikgu Siti Hajar akan membuat ‘comeback’ mereka?

Kita tunggu dan lihat …