Aaron Aziz tak kekok bergandingan dengan Luna Maya

Aaron Aziz tak kekok bergandingan dengan Luna Maya

11 Jul – Walaupun ini merupakan kali pertama aktor popular Aaron Aziz digandingkan dengan pelakon sensasi Indonesia Luna Maya, namun Aaron tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendapat keserasian ketika di set penggambaran.

"Sebelum penggambaran filem ini bermula, Ahmad Idham ada menyuruh saya untuk berbual dengna Luna untuk mendapatkan keserasian, memandangkan ini kali pertama saya bekerjasama dengan Luna.

"Tapi bagi saya pula, saya mendapatkan keserasian tersebut semasa bergandingan dengan dalam kamera. Saya jenis yang akan memberi perkara itu apabila pengarah cakap 'action'. Apa pun kami berjaya mendapatkan apa yang pengarah mahukan," kata Aaron yang ditemui pada majlis pratonton filem "Tembus" di Cathay Cineplex ECurve, semalam.

Dalam pada itu, Aaron juga sempat memuji aktres jelita itu kerana Luna memberikan sesuatu kelainan dalam filem.

"Pengalaman saya bergandingan dengan Luna, saya rasakan dia memberi kelainan dalam filem ini. Dia pelakon yang hebat dan berpengalaman. Lakon layar filem ini juga menampilkan sesuatu yang segar.

"Gabungan saya, Khir Rahman, Fazura dan Luna membuatkan "Tembus" berbeza."

Pada masa sama, Aaron turut memberitahu bahawa watak sebagai Hari dalam filem "Tembus" juga berbeza daripada watak yang pernah dibawanya sebelum ini.

"Watak saya kali ini berbeza dengan watak-watak yang pernah saya jayakan sebelum ini. Terdapat sedikit 'twist' untuk watak ini di akhir cerita."