Ady Putra mahu cerai, nafi Nora Danish pihak ketiga



Aktor pujaan Ady Putra barangkali mengejutkan banyak peminatnya apabila dia mengaku telah memfailkan penceraian terhadap isterinya, Aida Yusof pada 10 Mei lalu. Masakan tidak, Ady dan Aida selama ini memberi gambaran bahawa mereka sebagai pasangan romantik.

Tiba-tiba, tak ada angin, tak ada ribut, Ady mengaku dia telah memfailkan penceraian terhadap Aida, dua hari selepas dia pulang daripada mengerjakan umrah iaitu pada 8 Mei lalu.

Mengulas tentang isu tersebut, Ady memberitahu seboleh-bolehnya dia tidak mahu mengulas panjang atau membuka cerita tentang rumah tangganya. Bagaimanapun, sebagai selebriti, dia akur bahawa dia perlu memberitahu umum tentang kedudukan rumah tangganya sekarang.

"Saya memang telah memfailkan penceraian terhadap isteri saya iaitu Aida pada 10 Mei lalu di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur. Alasan mengapa saya memfailkan penceraian, hanya saya dan isteri yang tahu.  Ini masalah dalaman kami dan biar ia diselesaikan dengan sebaik mungkin," ujar Ady.

Tambah Ady, keputusan untuk memfailkan penceraian terhadap Aida telah lama difikirkan. "Malah Aida juga tahu tentang keputusan tersebut (fail cerai)," katanya yang enggan mendedahkan adakah dia mengambil keputusan bercerai selepas mendapat petunjuk sewaktu menunaikan umrah bermula 27 April hingga 8 Mei lalu.

Ady turut menafikan, penceraian tersebut berpunca daripada orang ketiga. Dia dengan tegas menolak dakwaan yang mengatakan kononnya aktres cantik Nora Danish menjadi salah satu punca rumahtangganya bergolak.

"Saya menafikan hal tersebut sekerasnya. Sila jangan heret orang lain dalam masalah rumah tangga kami. Seperti yang telah saya katakan, hanya saya dan isteri yang tahu hal sebenar. Tolong jangan mengeruhkan lagi keadaan," ujar Ady.

Jelas Ady, tentang hubungannya dengan Nora Danish, ia hanya sebatas rakan kerja kerana mereka kerap berlakon bersama termasuk dalam drama rantaian “Tentang Dhia” dan filem “Aku Terima Nikahnya”. Sebagai seorang pelakon, dia juga mengaku tidak suka mencampur aduk antara urusan peribadi dengan karier.

"Saya telah berlakon dengan banyak pelakon wanita sebelum ini dan tolong jangan kaitkan Nora dalam isu ini," tambahnya lagi.

Ady yang telah bernikah dengan Aida selama tujuh tahun turut menafikan dia tidak lagi tinggal sebumbung dengan isterinya itu seperti yang digosipkan.