Advertisement

Ahmad Idham tampil kelainan dalam "Tembus"

Ahmad Idham tampil kelainan dalam "Tembus"

11 Jul – Pengarah terkenal, Ahmad Idham mempertaruhkan filem terbaru arahannya "Tembus" apabila menampilkan kelainan daripada filem-filemnya sebelum ini.

"Filem "Tembus" ini adalah filem satu-satunya yang lari dari genre-genre lain yang saya pernah buat. Saya cuba buat filem ini seperti filem 'mid age' yang mana sebelum ini ramai yang membuat filem hanya untuk remaja seperti filem rempit, kereta, gangster dan seram," ujarnya yang ditemui pada majlis pratonton filem "Tembus" di Cathay Cineplex Ecurve, semalam.

Pada masa sama, Ahmad Idham turut mengakui bahawa filem-filem seperti itu sudah tidak lagi mendapat sambutan.

"Saya akui sendiri sambutan terhadap filem-filem seperti itu sudah tidak lagi mendapat sambutan. Jadi saya telah mengambil keputusan untuk membuat sebuah filem yang serius dan berat yang ada kena-mengena dengan krisis, skandal dan konspirasi.

"Jadi pada tahun lepas saya melihat negara dilanda isu penculikan kanak-kanak semakin menjadi-jadi, oleh itu saya ambil keputusan untuk membuat filem berhubung isu ini, tetapi ia mempunyai 'twist' dalam jalan cerita filem ini."

"Tembus" adalah sebuah filem kekeluargaan yang penuh dengan konflik mengenai pasangan suami isteri Hari (Aaron Aziz) dan Izza (Fazura) apabila anak mereka Zara (Mia Sara) telah diculik, dan penculikan misteri itu yang membongkar segala konflik dalaman yang selama ini dipendam baik Hari, Izza dan juga dari orang sekeliling yang rapat dengan mereka.

Selain Aaron dan Fazura, "Tembus" juga dibintangi pelakon hebat lain seperti Khir Rahman dan pelakon jelita dari Indonesia Luna Maya.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta akan mula ditayangkan pada 28 Julai ini bersamaan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.