Aliff Aziz: Mereka buat kerja lagi merepek

Aliff Aziz: Mereka buat kerja lagi merepek

16 Apr – Penyanyi dan pelakon dari negara seberang Singapura, Aliff Aziz kesal apabila dituduh tidak berdisiplin dan dikatakan punca penggambaran sebuah drama yang dilakonkannya tidak dapat ditamatkan mengikut masa.

Menurut laporan mStar, Aliff bagaimanapun memberitahu masalah tersebut timbul kerana produksi tersebut tidak sistematik dari segi cara kerja mereka sehingga menyusahkan banyak pihak terutamanya pelakon.

"Saya kecewa apabila mereka menuding jari dan meletakkan semua kesalahan atau kelewatan drama adalah disebabkan saya. Walhal apa yang berlaku adalah kerana cara kerja mereka yang banyak menyusahkan semua pelakon.

"Mereka beri jadual yang tidak masuk akal dan sering kali bertukar. Pada awal penggambaran lain disuruh dan bila produksi terpaksa menambah jumlah hari penggambara. Ahh... mereka buat kerja lagi merepek," ujar Aliff.

Namun Aliff, 23, turut mengakui kesalahannya yang sukar bangun pagi sehingga beberapa kali terlewat tiba di lokasi.

"Ya, saya mengaku beberapa kali datang lambat kerana terlajak tidur dan memang saya susah nak bangun pagi. Mereka ada menegur kesilapan saya itu.

"Saya terima teguran itu dan bersedia memperbaiki untuk datang awal pada keesokannya, tetapi mereka pula yang selalu lewat sehingga kadang-kala tiada babak langsung untuk saya," katanya.

Menyedari dia adalah seorang pelakon baru dan tidak setaraf dengan pelakon popular yang tidak perlu menunggu, Aliff bagaimanapun kesal apabila ada pihak produksi menimbulkan isu tersebut.

Malah Aliff mengaku serik untuk bekerjasama dengan syarikat produksi tersebut lagi.