Amy Search lancar MP3



Tiada apa yang lebih signifikan dan bermakna buat grup legenda Search saat meraikan perjalanan seni mereka selama 30 tahun melainkan muncul dengan sebuah item yang boleh menjadi koleksi terbaik bagi peminat tegar mereka. Maka jika kebanyakan artis lain merangka pelbagai konsert mega untuk meraikan ulang tahun pembabitan sebagai anak seni, Search memilih hal yang sebaliknya. Dalam diam-diam, mereka muncul dengan sebuah item yang juga julung kali dibuat oleh artis Malaysia - MP3.

"Sebenarnya pada awalnya kami mahu muncul dengan box set Search, bagaimanapun ia telah selalu dibuat oleh banyak artis lain. Jadi apabila kami bertemu dengan Adimus Putra dari Hoorey Sdn. Bhd yang mencadangkan agar kami muncul dengan MP3, kami terus bersetuju. Ia sesuatu yang unik dan boleh menjadi item terbaik buat peminat kami menyimpannya sebagai koleksi," ujar Amy yang ditemui di kediamannya baru-baru ini.

Menariknya mengenai MP3 yang dipanggil MP3 30 Tahun Search itu adalah ia mengandungi 101 buah lagu hit mereka yang diambil daripada album sulung yang diterbitkan pada tahun 1985 iaitu Cinta Buatan Malaysia sehingga album terakhir, Gothic Malam Edan (2006). Dijual pada harga RM303 sejak ia mula dilancarkan pada hari Isnin lalu, MP3 tersebut kini terjual macam goreng pisang panas. Daripada 5,000 unit yang dicetak secara eksklusif, ia kini telah dijual sebanyak 3,000 unit.

Ujar Amy, sambutan yang menggalakkan tersebut agak mengejutkan mereka kerana ia hanya dijual menerusi website mereka iaitu http://fenomenasearch.com/mp3 dan ia juga hanya dijual di dalam negara.
"Budak kami yang menggendalikan jualan tersebut secara online juga terkejut kerana kurang dua jam ia dilancarkan pada hari Isnin lalu, ia telah terjual sebanyak 400 unit," katanya sambil tersenyum.
Oleh kerana sambutan yang menggalakkan termasuk permintaan yang tinggi daripada peminat di Singapura, Brunei dan Indonesia, Amy tidak menolak mereka mungkin akan membuat cetakan kedua. Bagaimanapun katanya ia tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat kerana ingin mengekalkan nilai eksklusif yang diberi kepada lima ribu orang peminatnya.

"Sebab itu kami kata ia eksklusif," katanya ringkas.

Ditanya apa istimewanya MP3 tersebut dan berbaloi untuk dibeli peminat, Amy menjawab: "Pertama, ia pertama kali dibuat oleh artis di Malaysia. Kedua, ia adalah koleksi lagu-lagu hit kami yang cukup banyak dan dimasukkan ke dalam satu unit iaitu MP3 dan saya juga merakamkan semula lagu Kejoraku Bersatu. Ketiga kerana ia adalah koleksi terbaik untuk dikenang kerana 30 tahun perjuangan kami. Keempat, ia juga diselitkan dengan temu bual bersama Search dan Datuk M.Nasir tentang pembikinan album-album kami."

Amy juga memberitahu setakat ini Search tidak mempunyai perancangan khusus untuk mengadakan konsert mega sempena meraikan ulang tahun ke-30 mereka, kecuali konsert yang telah berlangsung pada tahun lalu.

Sementara itu saat ditanya mengenai tweetnya yang seperti menyokong kemenangan Aaron Aziz sebagai Bintang Paling Popular di malam Anugerah Bintang Popular 2011 yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands selepas 'diperli' oleh Zed Zaidi baru-baru ini, Amy menyatakan seharusnya perkara tersebut tidak perlu menjadi satu isu.

Ujarnya: "Setiap penghijrahan itu ada pengorbanan. Jika ia berbaloi mengapa perlu dipertikaikan. Malah lihat sahaja orang luar yang masuk ke dalam industri seni kita seperti M.Nasir dan Datuk Ramli MS misalnya, jika ia membawa perubahan dan penghijrahan yang baik, kenapa perlu kecoh.
“Kalau kita sibuk nak perjuangkan organisasi kita misalnya, apa kata kita sibuk perjuangan nasib artis kita seperti pelakon yang masih lagi miskin kerana kontrak dan pulangan royalti yang tidak memihak kepada mereka. Saya rasa itu lagi penting daripada isu orang luar berhijrah dan jadi popular,” ujarnya lagi.