Advertisement

Astro tawar program menarik sempena Aidilfitri

Astro tawar program menarik sempena Aidilfitri

11 Jul – Meneruskan tradisi tahunan, sekali lagi pihak Astro berbesar hati membawakan kepada anda program-program menarik dan istimewa yang bakal memeriahkan musim perayaan di bawah pelbagai rangkaian saluran media televisyen, radio, penerbitan dan digital.

Sebanyak 55 buah program baru bakal disiarkan menerusi 13 buah saluran terpilih dan di antaranya adalah Astro Ria (104), Astro Prima (105), Astro Oasis (106), Astro Warna (132), Mustika HD (134) dam banyak lagi.

Encik Khairul Anwar Salleh selaku Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro memberitahu variasi program istimewa khusus buat tontonan semua sepanjang musim perayaan ini dapat dinikmati dengan pantas pada bila-bila masa sahaja mengikut keselesaan masing-masing.

"Sempena dengan tema Ramadan dan Syawal tahun ini iaitu 'Kosong-Kosong, Buka Lembaran Baru' ini diilhamkan daripada kesucian dan ketulusan hati melupakan kesengkatan lampau.

"Pengisian kandungan daripada pelbagai genre berbeza seperti telefilem, komedi, muzikal, konsert, majalah, hiburan, kerohanian, drama dan banyak lagi bakal disusun secara berselang seli tanpa henti bagi memenuhi kehendak tontonan seisi keluarga, " ujarnya.

Antara program eksklusif yang akan ditayangkan adalah kisah sambutan dua selebriti tanah air iaitu Lisa Surihani dan Zizan Razak mengenai memori sambutan hari raya mereka.

Selain itu, Astro First Eksklusif bakal menyajikan "Nostalgia" yang diterajui oleh Sharifah Amani, Cristina Suzanne, Afdlin Shauki, Adibah Noor dan ramai lagi serta "Tak Nak Balik Raya" lakonan Aaron Aziz, Siti Saleha, Ruminah Sidek dan Azhar Sulaiman.

Bagi mereka yang sedang memandu pulang ke kampung halaman semasa Aidilfitri, pihak Astro Radio juga tidak ketinggalan dalam menemani anda sepanjang perjalanan.

Di antaranya adalah segmen "Carta Kosong-Kosong" yang menampilkan 40 buah lagu raya yang pastinya menggamit memori silam ketika mendengarnya dan juga boleh bermuhasabah dengan program "Segmen Motivasi Bersama Ustaz Don".

Selain laporan trafik yang sangat membantu anda merancang perjalanan, jangan lupa untuk lepaskan peluang anda ke Majlis Rumah Terbuka yang bakal ditawarkan kepada pendengar eksklusif ERA fm dan Sinar FM.

Oleh itu, semarakkan hari lebaran anda dengan program-program hebat terbitan Astro yang pastinya memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersama saudara mara dan sahabat handai anda.