Azwan Ali bikin kontroversi lagi?

Azwan Ali bikin kontroversi lagi?

12 Jul – Siapa yang tidak kenal dengan selebriti yang sering mencetuskan kontroversi dan cerita-cerita hangat menerusi media sosial Twitternya.

Ada sahaja perkara yang hendak diperkatakan olehnya di laman sosial berkenaan sehingga menjadi perhatian media dan para pengikutnya.

Baru-baru ini kecoh pula dunia hiburan tanah air dengan isu juadah bazar Ramadan yang dilabelkan sebagai 'sampah' oleh pengacara yang popular dengan ungkapan 'amboi amboi amboi' ini.

Berpeluang menemui Azwan di Majlis Pelancaran Program Raya Astro bertempat di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, TUPAI tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan kenyataan selebriti yang kerap dikatakan sebagai individu bermulut laser ini.

Mari kita ikuti apa kisah sebenar di sebalik kontroversi yang tercetus dan sedikit sebanyak cerita hangat serta perkembangan semasa insan bernama penuh Mohamed Azwan Haji Ali ini.

Hai & Assalamualaikum Azwan, apa khabar?
Waalaikumussalam, saya sihat sahaja Alhamdulillah.

Baru-baru ini kecoh di laman sosial sehingga menjadi viral perihal kisah Azwan Ali yang mengatakan hidangan bazar Ramadan sebagai 'sampah', apa komen anda?
Mengenai isu tersebut, saya tidak menyalahkan mana-mana individu tertentu dan disebabkan isu ini saya telah dimaki hamun oleh peniaga-peniaga sehingga ada di antara mereka yang menghantar mesej kepada pihak atasan kerajaan dan menyuruh pihak polis untk menangkap saya. Apa salah saya dan kalau diberkas pun hendak letak di bawah seksyen apa?

Semasa saya memberikan kenyataan tersebut adakah saya ada cakap semua bazar dan kenapa mereka mahu mengamuk? Saya tidak menghina juadah yang dijual di bazar tersebut. Menghina dan mengatakan kebenaran adalah dua perkara yang berbeza. Kalau anda boleh buktikan semua juadah tersebut lazat, memang saya menghina. Tetapi, kalau sembilan dari sepuluh juadah kau rasa sampah, siapa nak jawab?

Ramai yang bersetuju banyak makanan bazar Ramadan berulat, basi, 'recycle' dan tak cukup masak, saya tak sebut pun kedai mana, lorong gerai mana, jadi janganlah nak melatah sangat.

Boleh berikan contoh juadah yang membuatkan Azwan bengang dan adakah dengan terjadinya perkara sebegini membuatkan anda akan boikot bazar Ramadan?
Murtabak yang saya beli bawangnya sudah basi mestilah saya meroyan. Walaupun murtabak yang saya beli berharga hanya sekitar RM2 atau RM3, tetapi saya pakai duit sendiri untuk membeli.

Selepas kejadian terbabit, saya bersumpah atas nama Allah tidak akan pijakkan kaki ke bazar berkenaan. Bazar lain saya akan pergi dan Sabtu ini saya ke bazar Ramadan di AEON Melaka dan nantikan kemunculan saya di sana kerana Azwan Ali akan menggegarkan bazar Ramadan di sana.

Kalau saya maki bazar tersebut tidak bermaksud saya memaki hamun semua bazar. Saya juga telah diugut oleh peniaga-peniaga bahawa mereka akan beramai-ramai ingin mencincang dan belasah saya. Saya tak takut pun malahan akan buat 'catwalk' lagi di bazar Ramadan Melaka.

Seperti umum sedia maklum, abang anda Azmin Ali merupakan seorang ahli politik dan Azwan pernah merasakan dirinya layak menjadi menteri besar, apa pendapat anda mengenai isu tersebut?
Dahulu saya sememangnya merasakan beliau layak menjadi seorang menteri besar. Tetapi sekarang dah terkeluar carta dan berharap dirinya bersabar. Walaupun tak dapat jadi menteri besar, yang penting songket beliau cantik!

Saya tahu beliau memang hebat dan masih mendapat sokongan ramai dan masih ramai lagi yang berkenan untuk beliau menjadi menteri besar. Tetapi tak mengapalah, kalau tak dapat jadi menteri besar kau jaga sajalah kawasan kau tu, 'glamour' lah juga.

Ada sesetengah pihak mendakwa Azwan sukar mendapat tawaran kerja kerana gemar mencetuskan kontroversi, apa komen anda?
Sepanjang 25 tahun bergelar artis Allah telah mengatur segalanya untuk saya. Saya pernah naik dan saya pernah jatuh tetapi di saat saya jatuh saya tak terduduk. Orang yang anggap saya terduduk, musuh-musuh saya bertepuk tangan kononnya saya dah terduduk.

Tetapi orang tak tahu rezeki saya tak pernah putus. Ramai yang bertanya 'Eh, kau dah lama tak keluar TV, tak ada 'job' ke sekarang?', memang satu soalan yang berbisa untuk saya telan. Memang saya tak ada kerja tapi Allah Maha Kaya.

Masterchef Malaysia dua tahun lepas, saya hanya diarahkan oleh pihak Astro untuk memaki hamun calon-calon peserta melalui laman Twitter saya. Saya tak payah pergi Astro tapi dibayar beribu-ribu oleh mereka dan diberi Astro On The Go secara percuma.

Apa perkembangan terkini Azwan dan projek terbaru yang melibatkan diri anda?
Baru-baru ini saya ada mengadakan majlis meraikan anak-anak yatim dan Alhamdulillah majlis tersebut berjalan dengan lancar sekali dan itulah hadiah Ramadan yang terbesar buat diri saya pada tahun ini. Ramai artis yang hadir datang menyokong saya dan ramai juga yang meminta maaf kerana tidak dapat hadir namun saya amat berbangga dan faham dengan kerjaya mereka yang sibuk.

Selain itu saya terlibat di dalam program 'Sembang Teh Tarik' dan ramai yang suka dengan kenyataan ikhlas saya sehingga mendapat 'rating' tertinggi untuk program berkenaan mengalahkan Aaron Aziz yang mendapat tangga ketiga.

Ramai yang mengatakan kalau Azwan Ali punya program dekat Astro mesti 'trending', ya memang betul seperti Masterchef Malaysia, Betul ke Bohong, Meletup dan terbaru Sukalah Tu mendapat 'rating' yang tinggi.

Lewat kebelakangan ini ada desas-desus mengatakan Azwan ada mengambil anak angkat, adakah perkata itu benar?
Nak dikatakan mengambil anak angkat itu boleh dikatakan betul, cumanya saya tidak menjaga dirinya sepenuh masa dan hanya memberikan sumbangan berupa wang dan pakaian seperti kasut, baju raya dan baju sekolah. Saya bukanlah seorang yang kaya, tetapi saya berhajat ingin mewahkan dirinya.

Namanya Muhamad Akil dan baru berusia 6 tahun, bukan berusia 2 tahun seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal hiburan baru-baru ini.

Saya memang suka dia walaupun kecil lagi tetapi sangat bijak dan comel. Saya terkedu dan tersentuh apabila dia memanggil saya dengan gelaran 'papa' dan kalau umur saya panjang akan jaga dia sehingga berjaya dan akan mewasiatkan semua warta saya kepadanya jika tiada lagi di dunia ini.

Sempena bulan Ramadan ini, ada apa-apa ucapan yang ingin Azwan sampaikan kepada mereka di luar sana?
Kepada rakan artis yang selalu saya kutuk, yang terasa badannya seperti Dinasour, saya minta kosong-kosonglah ya. Juga tidak lupa kepada artis-artis yang tuduh saya guna saka atas kepala, tak tahulah siapa, saya minta maaf kepada artis itu, kosong-kosong okey.

Kepada rakan media saya minta maaf kerana panggil mereka 'pressangka'. Sempena Ramadan dan Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi, saya punya mesej adalah muhasabah dan saya sedar banyak kesilapan yang saya telah lakukan.

Pada hari bertuah ini saya ingin meminta maaf kepada semua. Kalau ada yang masih nak berdendam dengan saya, saya tak boleh nak buat apa.

Apa di antara persiapan dan aktivti Azwan semasa sambutan Aidilfitri pada tahun ini?
Pada Aidilfitri kali ini saya tidak berkesempatan merayakannya di Malaysia kerana akan berangkat ke Mekah dan Madinah untuk mengerjakan ibadah umrah. Alhamdulillah ini merupakan umrah saya yang ketujuh dan akan berada di sana pada 21 Julai sehingga 3 Ogos. Saya berasa bersyukur kerana permohonan visa saya diluluskan walaupun kini penyakit virus unta sedang merebak di sana.

Persiapan untuk raya juga cuma beri tumpuan pada baju-baju 'glamour' sahaja dan saya sudah sediakan sebanyak lima pasang baju. Tiada sebarang niat untuk menunjuk-nunjuk kerana hati saya kini hanya pada Kaabah, cumanya saya tetap akan menyambut lebaran apabila pulang ke tanah air nanti.

Okey, terima kasih kerana meluangkan masa bersama kami untuk ditemubual, semoga dipermudahkan urusan umrah di sana dan selamat berpuasa!
Sama-sama, terima kasih juga diucapkan kepada semua, selamat berpuasa!