Advertisement

Buah tangan baru dari Ella

Buah tangan baru dari Ella

11 Apr – Ratu rock negara, Ella bakal mengeluarkan dua single terbaru duet bersama penyanyi Indonesia yang dikenali sebagai Anji.

Lagu duet dendangan dua penyanyi ini yang berjudul "Pilu" dan "Risalah Hati" bakal menemui peminat pada pertengahan April ini.

Kedua buah lagu ini mendapat sentuhan kreatif komposer Adi Priyo yang juga merupakan vokalis kumpulan 6ixth Sense.

Susunan muzik pula adalah hasil susunan Alfa Booty dan telah melalui proses rakamannya di Malaysia dan juga Indonesia.

Menurut Pengarah Domestik Universal Music Malaysia, Mujahid Abd Wahad, pihak mereka memilih Anji untuk digandingkan bersama Ella kerana kesesuaian vokalnya serta pembawaan konsep rock yang seakan sama dengan muzik nyanyian Ella.

"Vokal mereka kelihatan cukup serasi apabila dipadankan dan gandingan ini adalah salah satu usaha syarikat kami untuk mengetengahkan bakat-bakat tempatan di persada muzik Indonesia," nyata beliau pada media tempatan.