Cara buat rendang udang galah salai berkunyit

Cara buat rendang udang galah salai berkunyit

10 Jul – Menjelang bulan puasa, ramai yang memilih untuk membeli juadah berbuka di bazar Ramadan atau pun berbuka di luar sahaja kerana tiada masa untuk memasak dek kesibukan kerja di pejabat dan hanya akan memasak apabila pada hujung minggu sahaja.

Namun, kadang-kala anda pening memikirkan untuk memasak apa menyebabkan anda mengambil keputusan untuk menjamu selera di luar kerana lebih banyak pilihan.

Kali ini kami ingin berkongsi resipi rendang udang galah salai berkunyit yang boleh anda cuba masak sebagai juadah yang enak dan lazat untuk berbuka puasa.

Sesekali mencuba lauk udang galah untuk dihidangkan kepada keluarga tersayang pasti memberikan perbezaan dan kemewahan sajian. Secara ringkasnya, hidangan lauk ini benar-benar memberikan rasa teruja kepada yang mencubanya.

Di bawah berikut adalah bahan-bahan yang perlu anda sediakan yang dipetik dari Mingguan Wanita.

Bahan-bahannya:
1 kg udang galah
(sederhana besar)
50 gram serbuk kunyit
100 gram bawang merah
30 gram bawang putih (dikisar)
50 gram buah keras (dikisar)
2 batang serai (dikisar)
30 gram halia (dikisar)
20 gram lengkuas (dikisar)
20 gram kunyit hidup (dikisar)
10 gram cili giling
2 biji santan pekat
50 ml air asam jawa
3 helai daun kunyit (dihiris halus)
Minyak secukupnya

Cara membuatnya:
Bersihkan udang dan gaul bersama garam dan serbuk kunyit. Salai di atas bara api sehingga udang masak. Ketepikan.

Kemudian, tumis bahan-bahan kisar bersama dengancili giling. Biarkan sehingga terbit minyak dan masukkan santan pekat dan air asam jawa.

Reneh sehingga kuah menjadi pekat. Masukkan udang yang telah disalai tadi bersama garam secukup rasa. Kacau sehingga rata.

Akhir sekali, taburkan hirisan daun kunyit dan hidangkan.

Selamat mencuba!