Advertisement

Cara elak kulit wajah berminyak

Cara elak kulit wajah berminyak

Semua orang mengimpikan kulit wajah yang mulus dan cantik, tetapi hakikatnya kita tidak terkecuali berhadapan dengan masalah seperti kulit berminyak.

Kulit berminyak berlaku kerana beberapa faktor iaitu tekanan, hormon atau pilihan alat solekan. Jika anda tidak merawatnya dengan segera, ia akan menyebabkan masalah bintik hitam, jerawat dan jeragat.

Ikuti cara-cara berikut untuk rawatan kulit berminyak di rumah:

JANGAN GUNA PELEMBAB
Kebiasaannya kulit berminyak akan rasa kering selepas dicuci, lantas anda pasti mahu menggunakan pelembab. Namun elak daripada menggunakan pelembab konvesional, sebaliknya gantikan dengan minyak semulajadi seperti minyak jojoba, minyak badam, minyak zaitun atau minyak kelapa. Mungkin agak pelik menggunakan minyak atas kulit berminyak, tetapi ia sebenarnya akan mengurangkan penghasilan minyak pada wajah anda.

ELAK BASUH MUKA DENGAN KERAP
Elak membasuh muka anda dengan kerap lebih-lebih lagi menggunakan sabun yang kasar kerana ia akan menghasilkan lebih banyak minyak. Ini kerana ia akan menggantikan minyak yang hilang ketika dibasuh.

JANGAN SENTUH MUKA
Elakkan daripada menyentuh wajah anda pada hari siang. Ini kerana jari anda yang mengandungi minyak itu akan dipindahkah pada muka anda, termasuk bakteria. Ia akan menyebabkan kulit wajah anda lebih berminyak dan bakteria yang dipindahkan akan mengakibatkan jerawat.

AMALKAN DIET SEIMBANG
Salah satu cara untuk menangani kulit berminyak adalah dengan mengamalkan cara pemakanan yang sihat. Makanan yang diambil boleh menyebabkan perubahan hormon dalam badan anda, sekaligus menjadikan kulit lebih berminyak. Elak mengambil makanan yang diproses dan banyakkan buah-buahan segar dan sayur-sayuran. Kurangkan makanan yang diperbuat daripada produk tenusu kerana ia meningkatkan penghasilan minyak dalam kulit anda.

GUNA SKRAB SEMULAJADI
Elakkan penggunaan produk kimia kasar kerana ia akan mendatangkan masalah kepada kulit dan membuat wajah anda lebih berminyak. Untuk pengelupasan kulit, anda boleh menggunakan produk semulajadi seperti gula dan madu atau minyak zaitun.

LAP MUKA MENGGUNAKAN TISU
Salah satu cara untuk mengelak muka anda berminyak adalah dengan menggunakan tisu. Ini kerana tisu wajah boleh menyerap lebihan minyak pada wajah anda dengan pantas. Selain daripada itu, anda boleh juga mendapatkan bedak yang melindungi kulit daripada berminyak.

GUNAKAN SUSU MAGNESIA
Penggunaan susu Magnesia dikatakan salah satu cara efektif untuk menangani kulit berminyak. Letakkan ia pada kulit anda selepas mencucinya dan biarkan selama sepuluh minit sebelum dicuci bersih. Susu Magnesia dikatakan mampu membuatkan kulit anda bebas minyak untuk satu tempoh yang agak lama.