Advertisement

Cara selamat seks ketika hamil


Hubungan seks adalah keperluan bagi pasangan yang bergelar suami dan isteri. Namun bagaimana jika isteri sedang hamil?
 
Apakah perkara-perkara yang harus diberi perhatian?

Setiausaha Agung Pengurus Kebangsaan Persatuan Seksologi Indonesia (ASI), Dr. Bona Simanungkalit menjelaskan bahawa wujud dua pandangan berhubung perkara ini. Pertama, beberapa pakar berpendapat sebaik-baiknya air mani atau sperma tidak dikeluarkan di dalam faraj pada tiga bulan pertama (trimester pertama) dan tiga bulan terakhir (trimester ketiga) kehamilan.

Alasan bagi pendapat itu ialah sperma mengandungi prostaglandin yang boleh melebarkan mulut rahim atau serviks. Keadaan ini dikhuatiri akan mengakibatkan keguguran," jelas doktor yang berpejabat di Puri Matahari Persada di Jalan Laladon Raya, Bogor.

Baca juga: Wanita berbulu lebat libidonya tinggi?


Pendapat kedua mengatakan hubungan seksual ketika hamil boleh dilakukan pada bila-bila masa asalkan kedua-dua pihak mahu melakukannya. Suami tidak harus memaksa isteri untuk melakukan hubungan seks sekiranya si isteri tidak mahu. Kesimpulannya, hubungan seks boleh dilakukan asalkan kedua-dua pihak berasa selesa.

"Pendapat saya pula bergantung kepada keadaannya," ujar doktor Bona. "Sekiranya wanita yang hamil itu tidak sihat dan sering keguguran, si suami dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan air mani atau sperma ketika melakukan seks."

Apakah kesan sperma itu boleh diselesaikan dengan penggunaan kondom?  Sudah tentu. Namun doktor yang pernah mengikuti pengajian Seksologi di Fakulti Perubatan Udayana, Denpasar ini berkata, tidak semua lelaki mahu memakai kondom ketika melakukan hubungan seks.

Justeru setiap wanita hamil harus berjumpa doktor, bukan hanya untuk memantau keadaan kandungannya tetapi juga bagi mendapatkan nasihat berkaitan seksualiti.  Jika perlu, berjumpalah dengan pakar psikologi kerana wanita yang baru pertama kali hamil biasanya tidak selesa dengan perubahan pada tubuhnya.  Selain dapat mengetahui tentang keadaan dan perkembangan kehamilannya, dia juga boleh mendapatkan pandangan doktor mengenai hubungan seks yang selamat.

Baca juga: Cara mengatasi masalah keputihan wanita


Menurutnya lagi, hubungan seks ketika hamil adalah bermanfaat kerana kehidupan seks adalah keperluan naluri setiap makhluk hidup. Melakukan hubungan seks adalah hak bagi setiap pasangan suami isteri, dan selesa menikmatinya dengan penuh kasih sayang.

Namun Dr. Bona mengakui bahawa ada lelaki yang enggan melakukan hubungan seks ketika kandungan isterinya semakin membesar.  Tanpa disedari sikapnya itu boleh menyinggung perasaan isteri.

"Cuba bayangkan, bagaimana perasaan isteri apabila suaminya mengelak daripada melakukan hubungan seks?" katanya.
Menyentuh tentang posisi ketika melakukan hubungan seks,  "Sebaik-baiknya pilihlah kedudukan yang selesa untuk ibu yang sedang hamil. Misalnya, kedudukan yang selesa agar perutnya tidak tertekan."

Melakukan hubungan seks tidak akan memberi kesan pada bayi yang dikandung kerana di dalam perut ibu,  bayi selamat dilindungi air ketuban. Hubungan seks juga tidak akan meninggalkan tompok sperma pada tubuh bayi, seperti sangkaan ramai orang.

Sepanjang tempoh kehamilan ketika kedudukan kepala bayi masih di atas hubungan seks secara selesa masih boleh dilakukan. Namun apabila kepala bayi sudah berada pada kedudukan yang sesuai untuk kelahiran atau laluannya sudah terbuka, maka sebaik-baiknya elakkanlah daripada melakukan hubungan seks.

Justeru tiada masalah untuk melakukan hubungan seks ketika hamil, kerana ada cecair ketuban yang dapat melindungi bayi dalam kandungan. "Tetapi, apakah kita masih mahu melakukan hubungan seks sedangkan bayi yang dikandung bakal dilahirkan pada bila-bila masa? Seelok-eloknya,  tunggulah dulu sehingga bayi itu selamat dilahirkan," ujar Dr. Bona.

Baca juga: Pasangan blogger popular dengan video seks