Cinta Maya Karin-Remy Ishak bertaut kembali




DULU mereka pernah digosipkan bercinta. Namun baik aktres jelita Maya Karin mahupun aktor tampan Remy Ishak tidak mahu mengesahkan status hubungan mereka. Apa yang pasti mereka semakin intim.

Spekulasi timbul kembali apabila mereka mengambil peluang bercuti di Sabah bersama-sama baru-baru ini.

"Setakat ini, apa yang boleh saya katakan, saya dan Maya hanya sekadar kawan rapat.  Hubungan kami memang semakin intim. Malah, dia satu-satunya teman wanita yang paling rapat dengan saya sekarang ini.

"Bagaimanapun pada masa akan datang, saya tak pasti bagaimana status hubungan kami," ujar Remy Ishak yang ditemui baru-baru dalam majlis prebiu drama 'Cinta Jangan Pergi' saat ditanya tentang hubungan baiknya dengan Maya.

Ditanya apa sahaja sikap Maya yang selalu membuat dia gembira bersama aktres tersebut, Remy memberitahu Maya seorang wanita yang menyenangkan dan bijak.

BACA: Adakah Maya Karin cintakan Bront Palarae?
BACA: Maya Karin ingin bercinta lagi
BACA: Maya Karin gementar beraksi ranjang


Memang hubungan baik Remy dan Maya bukan baru terjalin. Keakraban mereka telah lama dihidu, namun mereka masih berpegang atas tali persahabatan sahaja. Bagaimanapun selepas Remy putus cinta dengan Tiz Zaqyah, hubungan dia dan Maya dilihat khalayak seperti kembali terjalin dengan lebih akrab.

Buktinya, baru-baru ini, Remy dan Maya telah menghabiskan masa bersama dengan pergi bercuti ke sebuah kawasan pedalaman di Sabah, Imbak Canyon. Gambar percutian mereka dikongsi oleh Remy dan Maya sendiri melalui akuan Instagram masing-masing.

Mengulas tentang percutian mereka, Remy memberitahu, Maya yang telah mengajaknya bercuti ke sana dan dia menerima pelawaan tersebut dengan hati terbuka. Sementelah pemergian mereka turut disertai oleh wakil daripada Yayasan Sabah.

Katanya: "Kami ke sana selama empat hari. Saya bersetuju menyertai Maya sebab ia bukan sekadar percutian biasa, sebaliknya kami pergi ke sana bersama Yayasan Sabah untuk mengkaji ekologi dan haiwan di hutan simpan tersebut. Ia sebuah pengalaman yang mengujakan bagi saya kerana ia pertama kali buat saya."

Sementara itu saat ditanya tentang hubungannya dengan bekas kekasih Tiz  Zaqyah yang menjadi lawan mainnya dalam drama 'Cinta Jangan Pergi', Remy mendoakan agar pelakon tersebut berbahagia dengan kekasih barunya, yang dikenali sebagai Daniel.

Malah dia mengaku sedikit sebak sewaktu berlakon dengan Tiz untuk drama 26 episod arahan Kabir Bhatia itu memandangkan mereka pernah menjadi pasangan kekasih.

"Pada masa akan datang, saya tidak ada masalah untuk berlakon dengan Tiz, cuma untuk cerita 'Cinta Jangan Pergi', saya mengaku memang sebak bila mengenangkan hubungan kami yang tidak panjang," katanya.