Advertisement

Dari dunia lakonan ke muzik

Dari dunia lakonan ke muzik

Apakah persamaan antara Jamie Foxx, Jennifer Lopez, Jared Leto, Selena Gomez dan Zooey Deschannel?

Ya, mereka bukan sahaja memulakan karier dalam bidang lakonan, malah mereka turut berbakat dan berjaya mencipta nama dalam dunia muzik.

Mari kita lihat beberapa selebriti yang berjaya dalam dunia lakonan dan muzik.

HILARY DUFF

Karier Hilary Duff dalam dunia lakonan dan muzik bermula dengan bantuan saluran Disney selepas siri "Lizzie McGuire" yang dilakonkannya berjaya mencipta kejayaan di kaca televisyen dan juga layar perak. Duff melancarkan lagu pertamanya, "Why Not" yang berjaya menduduki tempat teratas dalam carta muzik. Album pertamanya, "Metamorphosis" telah diriliskan pada tahun 2003 ketika dia berusia 16 tahun. Selepas itu Duff menghasilkan beberapa buah album lain, berlakon dalam filem "Cheaper By The Dozen" serta melancarkan jenama pakaiannya sendiri.

JAMIE FOXX

Jamie Foxx bukan sahaja berbakat dalam dunia lakonan, malah muzik dan juga pengacaraan. Menerusi watak peneraju utama dalam filem "Ray" pada tahun 2004, Foxx telah berjaya dinobatkan Aktor Terbaik menerusi Anugerah Akademi, Golden Globe dan BAFTA. Foxx menunjukkan bakatnya dalam dunia muzik dengan meriliskan empat album bercorak R&B sejak itu dan berjaya menduduki tempat teratas dalam carta muzik serta memenangi beberapa anugerah. Foxx bakal muncul dengan filem "The Amazing Spider-Man 2" dengan membawa watak sebagai Electro.

JENNIFER LOPEZ

Sebelum dia bergelar penyanyi dan menjadi juri dalam program televisyen realiti "American Idol", Jennifer Lopez hanyalah seorang penari Fly Girl dalam siri komedi televisyen "In Living Colour" sehinggalah dia membuat keputusan untuk menceburi bidang lakonan pada tahun 1993. Dia menerima watak utama pertama dalam filem biopik "Selena", seorang bintang pop Mexico terkenal pada tahun 1997, sekaligus melancarkan album pertamanya, "On The 6" dua tahun kemudian. Sejak itu, Lopez telah meriliskan beberapa album dan tampil dalam filem-filem komedi romantik kebanyakannya.

ZOOEY DESCHANEL

Aktres jelita yang seringkali dibandingkan dengan Katy Perry kerana wajah yang hampir serupa ini pernah melakonkan filem "500 Days Of Summer" dan juga siri "The New Girl". Deschanel juga turut berkolaborasi dengan pemain gitar M. Ward sehingga menghasilkan kumpulan indie rock She & Him. Mereka telah meriliskan tiga album sejak tahun 2008 termasuk sebuah album Krismas pada 2011.

JARED LETO

Sebelum ini Jared Leto dikenali sebagai Jordan Catalano dalam drama bersiri remaja "My So-Called Life". Namun apabila siri tersebut dibatalkan pada tahun 1998, Leto menubuhkan kumpulan rock alternatif 30 Seconds To Mars yang berjaya menerima platinum untuk album "A Beautiful Lie". Sudah tampil dengan empat album sehingga kini dan juga memenangi beberapa anugerah, Leto kembali ke dunia lakonan pada 2013 dengan filem "Dallas Buyers Club". Dia turut memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Akademi dan Golden Globe menerusi watak tersebut.

JULIETTE LEWIS

Gaya dan penampilan Juliette Lewis lebih menyerupai kepada bintang rock, maka tidak hairanlah fokusnya kepada karier muzik. Bagaimanapun Lewis memulakan kariernya dalam dunia lakonan dan mendapat perhatian ramai apabila dia memegang watak Danielle Bowden dalam filem "Cape Fear" dan beberapa buah filem lain selepas itu. Lewis melancarkan karier solonya, kemudian tampil dengan kumpulan Juliette And The Licks sehingga tahun 2009.

LINDSAY LOHAN

Lindsay Lohan memulakan kariernya dalam bidang lakonan menerusi "The Parent Trap" pada tahun 1998, kemudiannya "Freaky Friday" dan "Mean Girls". Pada 2004, Lohan meriliskan album pertamanya, "Speak" yang berjaya menerima platinum pada tahun 2004. Setahun selepas itu, Lohan tampil dengan album keduanya, "A Little More Personal". Lohan muncul dengan beberapa buah filem selepas itu dan turut terlibat dengan masalah undang-undang.