Advertisement

Dari Hallyu ke Hollywood

Dari Hallyu ke Hollywood

19 Apr - Gelombang Korea sudah memonopoli kebanyakan negara-negara Asia dan Eropah. Para pelakon seperti Lee Min-ho, Bae Young-joon, Jun Ji-hyun dan Lee Young-ae berjaya menarik hati para peminat sehingga gaya rambut dan solekan mereka turut menjadi tiruan, manakala idola K-Pop seperti Big Bang, Girls' Generation, Super Junior dan Wonder Girls pula mampu mengalahkan nama-nama hebat seperti Lady Gaga dan Justin Bieber di anugerah antarabangsa.

Namun begitu, gelombang Hallyu itu begitu sukar melepasi tembok besar yang dibina oleh industri hiburan dan perfileman Amerika Syarikat. Sementara PSY berjaya melepasi kubu kukuh tersebut, yang lain masih cuba untuk mendekatinya.

Tapi ada di antara mereka yang berjaya melepasinya melalui lakonan mereka. Antaranya termasuk:

Rain
Penyanyi popular ini mencuba nasib di AS bukan sahaja dalam bidang nyanyian, tapi turut membintangi beberapa buah filem Hollywood, bermula dengan "Speed Racer" (2008) sebagai Taejo Togokahn, dan filem arahan James McTeigue, "Ninja Assassin" pada tahun seterusnya. Filem tersebut juga membolehkan dia menenangi anugerah Biggest Badass Star di Anugerah Filem MTV dan menjadi pelakon Korea pertama memenanginya.

Selepas kembali daripada khidmat negara selama 22 bulan, Rain telah ditawarkan untuk membintangi sebuah lagi filem Hollywood, "The Prince" di samping Bruce Willis dan John Cusack.

Lee Byung-hun
Bintang "IRIS" dan suami kepada pelakon jelita Lee Min-jung ini merupakan pilihan utama untuk filem-filem aksi Hollywood, malah turut dipanggil kembali untuk sekuel "G.I Joe: The Rise of Cobra", "G.I. Joe: Retaliation" dan juga muncul dalam "Red 2" di samping Bruce Willis dan John Malkovich.

Selain itu, Lee juga dilaporkan bakal muncul dalam filem terbaru francais "Terminator", "Terminator: Genesis" di samping Arnold Schwarzenegger.

Daniel Henney
Berbeza dengan bintang Korea yang lain, Daniel Henney dilahirkan di Michigan, AS tetapi menempa namanya di Korea Selatan terlebih dahulu sebelum mendapat perhatian Hollywood.

Bermula dengan drama komedi romantik "My Lovely Sam-soon" sebagai Dr. Henry Kim, Henney kemudiannya mula menerima tawaran filem dari produksi Hollywood sendiri seperti "X-Men Origins: Wolverine" sebagai Agent Zero dan "The Last Stand", sebuah filem aksi lakonan Arnold Schwarzenegger dan Johnny Knoxville.

Bae Doo-na
Sekalipun bermula sebagai model, jurugambar profesional dan pelakon yang popular melalui filem-filem seperti "Sympathy for Mr. Vengeance", "Ring Virus" dan drama seperti "My Crazy Wild Girl" dan "Master of Studies" ini menerima tawaran membintangi filem kolaborasi Wachowski Bersaudara dan Tom Twyker, "Cloud Atlas" yang diadaptasi dari novel David Mitchell dengan judul yang sama.

Malah melalui filem tersebut, yang turut dibintangi Tom Hanks, Halle Berry, Jim Sturgess dan Hugo Weaving, Bae sekali lagi ditawarkan untuk membintangi sebuah lagi filem arahan Wachowski Bersaudara, "Jupiter Ascending" yang turut menampilkan Mila Kunis, Channing Tatum dan Eddie Redmayne.

Kim Yoon-jin
Bintang berusia 40 tahun ini sudah pun popular di Korea Selatan melalui filem dan drama televisyen seperti "Shiri", "Diary of June", "Splendid Holiday" dan "Wedding Dress Drama" sebelum ditawarkan watak sebagai Sun-hwa dalam siri TV popular "Lost".

Selepas kejayaan siri TV tersebut, Kim kemudiannya ditawarkan membintangi sebuah lagi siri TV, "Mistresses", berkisar tentang kehidupan empat orang rakan karib dan hubungan cinta mereka yang kompleks. "Mistresses" yang diatayngkan di saluran ABC, turut dibintangi Alyssa Milano, Rochelle Aytes dan Jess Macallan.

Choi Min-shik
Selepas memenangi begitu banyak anugerah filem dan dikenali sebagai antara bintang senior tersohor di Korea Selatan melalui filem-filem hebat termasuk "I Saw the Devil", "Nameless Gangster" serta kolaborasi bersama pengarah Park Chan-wook seperti "Sympathy for Lady Vengeance" dan "Oldboy", Choi Min-shik kini akan membuat kemunculan sulungnya di Hollywood, melalui filem "Lucy", arahan Luc Besson.

Dalam "Lucy", yang turut dibintangi Scarlett Johansson, Morgan Freeman dan Analeigh Tipton, Choi memainkan watak seorang pengurus sebuah sindiket pengedaran dadah di Taiwan yang sedang memburu "Lucy" (lakonan Johansson) yang memiliki kuasa adiwira disebabkan kebocoran dadah yang diseludup ke dalam tubuhnya.