Datuk Siti Nurhaliza bakal ke layar perak?



NAMPAKNYA hasrat untuk melihat penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza beraksi di layar perak masih samar-samar apabila tiada sebarang kata putus diberikannya berhubung tawaran daripada syarikat penerbitan Indonesia yang mahukan dia membintangi filem berjudul “Kekuatan Cinta” terbitan mereka.
Soal Siti, bagaimana dia mahu memberikan kata persetujuan sedangkan syarikat produksi terbabit iaitu P.T Kent Films Productions belum membuat pertemuan rasmi dengannya.

“Siti tahu berita itu pun secara dalam talian. Siti tak anggap itu sebagai tawaran rasmi.Mungkin pihak produksi itu baru saja berhasrat untuk melamar Siti berlakon dalam filem terbitannya.

Disebabkan itu juga, Siti tidak dapat mengesahkan status tawaran itu kerana Siti belum mendapat sebarang tawaran rasmi daripada syarikat produksi itu,”kata Siti dalam satu sidang media baru-baru ini.

Justeru untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, isteri kepada usahawan terkemuka Datuk  Khalid Muhd Jiwa ini meminta mana-mana syarikat penerbitan filem dalam atau luar negara supaya membuat pertemuan secara rasmi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan mahu menawarkan lakonan kepadanya.

Juara Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) 1995 ini menegaskan, walaupun tawaran rasmi berada di depan mata, dia  tetap memperhalusi setiap butir tawaran yang diajukan kepadanya sebelum memberi persetujuan untuk berlakon dalam filem itu.Antara yang bakal diberi perhatian adalah skrip serta jalan cerita filem berkenaan.

“Selain faktor yang disebutkan tadi, Siti perlu juga memikirkan factor masa memandangkan jadual seni Siti  yang sentiasa padat selain daripada komitmen terhadap keluarga. Jujurnya saya memang belum bersedia dan terbuka hati untuk berlakon filem.

“Bukan apa. Bimbang kalau tidak memberikan hasil yang memuaskan. Kesannya akan terpalit kepada kita juga. Malah, penerbit dan pengarah juga pasti akan terkena tempiasnya Untuk itu, biarlah masa yang akan menentukan bilakah masanya untuk saya berlakon filem,”katanya.

Menerusi filem itu, Siti dilaporkan akan digandingkan dengan beberapa pelakon ternama Indonesia seperti Nicholas Saputra, Christine Hakim dan Dian Sastrowardoyo. Beberapa bintang filem Malaysia seperti Fasha Sandha, Melissa Saila dan Raja Ema juga dikatakan turut diundang berlakon dalam filem itu.


Berkongsi cerita mengenai percutiannya bersama suami ke tiga buah negara baru-baru ini iaitu  Maghribi, Marakesh dan Dubai, si pelantun Biarlah Rahsia ini memberitahu percutian tersebut adalah hadiah hari jadi dari suami tercinta.

“Sebelum ini kami pernah merancang untuk ke sana untuk berbulan madu tapi akhirnya kami memilih untuk ke Pulau Hawaii. Memang seronok sangat dapat ke negara-negara berkenaan kerana saya belum pernah berkunjung ke sana sebelum ini. Paling seronok ketika di Marakesh kerana seni bina dan hiasan dalaman bangunannya cukup menarik,”katanya.

Ditanya apakah hadiah sampingan selain percutian yang diberikan Khalid, Siti enggan mendedahkan perkara itu. Mengenai kehadiran cahaya mata, Siti berkata dia dan suami masih berusaha ke arah itu dan tidak pernah putus asa walaupun sudah enam tahun mereka mendirikan rumah tangga.

“Seperti pasangan lain, saya dan suami memang mengharapkan kehadiran cahaya mata untuk menyerikan lagi rumah tangga kami.Kami juga berusaha dengan pelbagai cara dan tidak pernah putus asa. Pun begitu, saya ada juga anak iaitu anak-anak suami Siti, jadi ia tidak memberi tekanan kepada saya.

“Dalam hal ini, tuhan mempunyai perancangannya tersendiri dan saya masih berpegang teguh kepada perkara itu. Insya-Allah jika ada rezeki saya, Tuhan pasti akan berikan,” kata penyanyi berdagu lekuk ini optimis.