Advertisement

Elaine Daly kembali bercinta dengan Hans Isaac?

Elaine Daly kembali bercinta dengan Hans Isaac?

24 Apr – Pengacara dan pelakon, Elaine Daly kini dikatakan telah menjalinkan semula hubungan percintaannya bersama bekas kekasihnya, Hans Isaac selepas dilihat pengarah dan penerbit kacukan itu telah memuat naik gambar mereka bersama di laman Instagramnya.

Lebih mencuri tumpuan apabila mereka dilihat sedang menikmati hidangan bersama keluarga masing-masing dan telah menimbulkan spekulasi bahawa Elaine adalah wanita yang bakal dikahwini oleh Hans pada Disember nanti.

Menurut laporan portal hiburan tempatan, Elaine yang ditemui ketika majlis pelancaran koleksi terbaru Dressing Paula di G Tower menjelaskan bahawa perkara itu tidak benar sama sekali kerana mereka berdua telah pun berpisah sejak 12 tahun yang lalu.

"Walaupun dah berpisah kami masih rapat dan saya sudah menganggapnya seperti abang saya," jelas Elaine yang turut mengakui hubungannya dengan keluarga Hans masih rapat seperti biasa.

Elaine yang sudah pun menginjak usia 37 tahun ini turut memberitahu yang dia kini telah pun mempunyai teman lelaki yang mana lelaki itu duduk bersebelahannya ketika makan bersama-sama dengan keluarga Hans.

"Kami sedang mengenali hati budi masing-masing dan saya rasa dialah orang yang saya cari selama ini. Uniknya dia fasih berbahasa Melayu kerana sudah menetap selama 10 tahun di sini.

"Dia seorang yang penyayang dan menghormati kedua ibu bapa saya dan kini saya lebih bahagia dan gembira," luah Elaine mengenai teman lelakinya yang merupakan seorang doktor yang berasal dari Afrika Selatan.

Dalam perkembangan lain, Elaine yang merupakan Pengarah Pertubuhan Ratu Cantik Kebangsaan bakal sibuk menguruskan ujibakat pencarian Miss Universe 2014 bermula Mei depan dan bakal muncul dengan filem terbaru berjudul "Permata Hati".