Elfira Loy fokus pelajaran sambil berbisnes

Elfira Loy fokus pelajaran sambil berbisnes

10 Jul – Siapa sangka pelakon muda berbakat kini sudah pun mengembangkan sayapnya menjadi ahli perniagaan dengan memasarkan barangan seperti skaf dan t-shirt jenamanya sendiri secara 'online'.

Pemilik nama Nurul Elfira Loy Binti Ahmad Sabri yang baru berusia 20 tahun ini dilihat sangat kreatif dan berbakat dalam menghasilkan corak dan ilustrasi hasil rekaannya sendiri.

"Sebenarnya saya suka sangat hasilkan lukisan sendiri jika mempunyai masa lapang sewaktu berjalan-jalan di luar negara. Contohnya, baru-baru ini saya berpeluang ke Thailand dan dari sana saya dapat idea dan ilham dan terus melakarnya walaupun hanya berada di dalam van.

"Jika ikutkan memang tiada masa untuk fokus seorang diri kerana sibuk dengan aktiviti pembelajaran di kolej, jadi saya akan meminta bantuan rakan untuk sama membantu memikirkan tema apa yang sesuai untuk koleksi yang akan datang," ujar Elfira ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program Raya Astro, semalam.

Aktres yang sedang mendalami bidang seni hiburan di Kolej Damansara Utama ini bakal menamatkan pelajarannya tahun depan dan berazam untuk mengembangkan bisnesnya sejurus tamat belajar kelak.

"Walaupun bisnes saya baru bermula pada tahun lepas, namun sambutan yang diberikan kepada Twinkle by Elfira amat menggalakkan dan Insya Allah saya akan menghasilkan pakaian 'ready to wear' pada tahun hadapan," kata aktres yang pernah digandingkan bersama aktor Indonesia Randy Pangalila dalam drama "Dalam Hati Ada Taman".

Dalam perkembangan lain, Elfira bakal menumpukan kariernya kepada bidang pengacaraan kerana ingin mengembangkan lagi bakatnya di samping terus mengasah bakatnya di dalam bidang lakonan.